CUB PRIX
Cub Prix: Afif Amran ungguli aksi sengit penutup pusingan ketiga CP150
Perlumbaan kedua kategori CP150 di Monkey Canopy Sungai Long, Kajang, hari ini berlangsung penuh dramatik dengan pertukaran kedudukan sengit di kelompok hadapan.
Ketika memasuki tiga pusingan terakhir pusingan ketiga Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix itu, posisi lima teratas masih kekal yang menyaksikan Azroy Hakeem Anuar mengekalkan pendahuluan.
Namun, Afif Amran enggan memberi ruang mudah apabila menyusun strategi demi strategi untuk memintas.
Iklan
Dengan hanya dua pusingan baki, Azroy Hakeem yang memacu jentera Pasukan Honda Estimo Yuzy Racing memimpin perlumbaan sambil diikuti rapat oleh Afif dengan hanya 0.2 saat, manakala Ahmad Darwisy Ahmad Syahir, Akid Aziz dan Kasma Daniel Kasmayuddin turut memburu podium dengan jurang yang kian mengecil.
Akhirnya, selepas 16 pusingan penuh tekanan dan aksi berani, Afif menjulang Pasukan Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing muncul juara perlumbaan dengan Afif muncul terpantas melepasi garisan penamat.
Pelumba bernombor 50 itu membuktikan kecekalan dan kehebatan taktikalnya, mengatasi Azroy Hakeem yang sekadar berpuas hati di tempat kedua.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara pencabar utama kejuaraan musim ini.
Must-Watch Video