Skip to main content

Sukan Lain

Corporate Super Rugby 2025: Enam pasukan buru pentas akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ragbi.jpg
Saingan peringkat kumpulan Corporate SuperRugby 2025 melabuhkan tirainya hujung minggu lalu dengan aksi penuh dramatik, menyaksikan pasukan-pasukan bertarung habis-habisan untuk merebut tempat ke pusingan kalah mati. 

Dengan format kejohanan yang memberikan laluan terus ke separuh akhir buat juara kumpulan, manakala naib juara dan tempat ketiga perlu bersaing di pusingan wildcard, setiap perlawanan menjadi medan penentuan yang sengit dan mencetuskan pelbagai detik mendebarkan di atas padang.

KUMPULAN A: JLJ RUGBY BERJAYA TAHAN ASAKAN, MBDK ROYAL TOWN WARRIORS UNGGUL!

Aksi di Kumpulan A memuncak di Padang Ragbi UPM pada Sabtu, 22 Februari 2025.JLJ Rugby berdepan perlawanan getir menentang Southern Oilers, dengan kedua-dua pasukan sedar bahawa kemenangan akan mengesahkan tiket ke peringkat wildcard. 

JLJ memanfaatkan peluang mereka sebaik mungkin, tampil dengan pertahanan kukuh dan disiplin tinggi untuk mengekang kebangkitan lewat permainan Oilers diterajui oleh pemain kebangsaan, Mohamad Nasharuddin. Kemenangan tipis 24-23 memastikan JLJ Rugby mara ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, pertembungan epik antara dua bekas finalis, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Royal Town Warriors dan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Patriots, berlangsung dalam suasana sengit. 

Perlawanan ini memperlihatkan satu pertunjukan sepakan taktikal daripada dua tonggak Utama pasukan, iaitu Mohd Fairuz Rahman (MBDK) dan Mohammad Nazreen Fitri (PPTD).

Akhirnya, MBDK Royal Town Warriors berjaya mengatasi lawan mereka dengan kemenangan tipis 20-17, sekali gus menempah slot automatik ke separuh akhir.

KUMPULAN B: RMAF BLACKHAWK PENUHI JANGKAAN, MUAMALAT BULLETS TERUS GAH

Dalam saingan Kumpulan B, Tentera Udara Diraja Malaysia (RMAF) Blackhawk membuktikan keunggulan mereka apabila menewaskan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Knights 31-21 dalam satu perlawanan yang menyaksikan mereka mempamerkan permainan bertenaga dan taktikal yang tersusun untuk menundukkan cabaran Knights.

Kemenangan ini meletakkan Blackhawk dalam kedudukan terbaik untuk meneruskan cabaran di pusingan kalah mati.

Sementara itu, Muamalat Bullets terus mengukuhkan reputasi sebagai pencabar utama kejuaraan dengan kemenangan bergaya 42-18 ke atas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Red Panthera. Bullets menunjukkan dominasi di setiap bahagian padang dan mengekalkan rekod cemerlang mereka untuk mara terus ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

PUSINGAN KALAH MATI: SIAPA AKAN MENGHAMPIRI KEJUARAAN?

Dengan tamatnya peringkat kumpulan, laluan ke perlawanan akhir semakin jelas. MBDK Royal Town Warriors dan Muamalat Bullets kini hanya selangkah lagi daripada pentas final setelah mara terus ke separuh akhir. Namun, cabaran masih getir buat pasukan lain yang perlu berjuang di pusingan wildcard.

Pada 12 April 2025, PPTD Patriots akan berdepan MBJB Red Panthera dalam usaha untuk meneruskan perjalanan mereka, sementara RMAF Blackhawk akan berentap dengan JLJ Rugby bagi merebut tempat ke separuh akhir.

Saingan Corporate Super Rugby 2025 kini memasuki fasa lebih mencabar dengan setiap pasukan bakal berjuang habis-habisan dalam usaha merebut tempat ke perlawanan akhir. 

Aksi seterusnya dijangka lebih mendebarkan dan menjadi medan pertempuran sengit yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat ragbi tempatan.

Advertisement

Must Watch Video