FUTSAL
Chun Yong gugur empat pemain sebelum berlepas ke Hunan
Jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong menggugurkan empat pemain ke Kejohanan Futsal Antarabangsa Persatuan Bola Sepak China (CFA) 2017 di Hunan, China dari 23 hingga 25 Jun ini selepas berakhir kem latihan pusat fasa ketiga kelmarin.
Empat pemain terbabit ialah dua pemain tonggak, Saiful Aula dan Azwann Ismail, serta Awalludin Mat Nawi dan penjaga gol, Syafiq Hamzah.
Mereka diketepikan daripada skuad akhir 14 pemain ke China atas faktor posisi.
Iklan
Namun, keempat-empat pemain itu akan kembali dipanggil untuk melengkapkan senarai 18 pemain ke kem latihan pusat fasa akhir bermula 3 Julai ini bagi menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.
"Kami ke Hunan untuk menguji kebolehan pasukan serta menguji taktikal dan strategi kami. Ini bukan senarai terakhir yang akan ke Sukan SEA. Empat pemain yang digugurkan masih berpeluang untuk beraksi di Kuala Lumpur, Ogos ini," kata Chun Yong.
Skuad futsal negara akan mengharungi tiga perlawanan dalam kejohanan itu dengan menentang Republik Czech dalam aksi pertama, diikuti China sebelum bertemu England untuk aksi terakhir.
Mereka berlepas ke China semalam dan akan kembali ke tanahair pada Isnin yang juga hari kedua Hari Raya Aidilfitri.
"Pemain-pemain yang terpilih terpaksa mengorbankan masa untuk bersama keluarga dan berharap dapat meraih sesuatu di sana nanti," kata kapten pasukan, Firdaus Razali.
"Sasaran kami adalah untuk memenangi setiap perlawanan. Wwalaupun Republik Czech antara pasukan yang bersaing dalam Piala Dunia, kami akan cuba memberikan saingan kepada mereka," kata pemain futsal negara, Khairul Effendy.
Must-Watch Video