'Umur hanya angka'
Bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim, menegaskan faktor usia bukan halangan buat Bergson Da Silva untuk beraksi di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
Safiq percaya Bergson mempunyai kualiti tersendiri, ditambah dengan sokongan Johor Darul Ta'zim (JDT) menerusi program latihan, penjagaan fizikal dan kemudahan bertaraf dunia.
Pemain kelahiran Brazil itu kini berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya selepas didaftarkan sebagai pemain tempatan untuk saingan Liga Malaysia 2026/27.
Perkembangan itu hadir ketika penggempur JDT itu sudah menjangkau usia 35 tahun, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada faktor usia mampu jadi halangan untuknya beraksi di peringkat antarabangsa.
Namun, Safiq yang mengenali rapat Bergson menyuarakan pandangan sebaliknya dengan menegaskan kesungguhan penyerang dari Brazil itu menyesuaikan diri dengan Malaysia, termasuk usahanya mempelajari Bahasa Melayu turut menjadi petanda positif terhadap komitmennya.
"Saya rasa umur hanyalah angka, jika anda mempunyai program latihan, penjagaan fizikal dan kemudahan bertaraf dunia yang baik, saya rasa jangka hayat dalam bola sepak akan menjadi lebih.
"Saya rasa apa yang ada di JDT akan membantu dia pergi lebih jauh atau lebih lebih lama sebagai pemain bola sepak," katanya.
Selain bergson, tiga lagi pemain JDT turut berpeluang memperkuatkan skuad kebangsaan iaitu Manuel Hidalgo, Shane Lowry dan Brad Tapp, dengan ketiga-tiga pemain itu turut tampak mempunyai status pemain tempatan melalui proses naturalisasi dan warisan.
"Saya rasa empat pemain ini adalah aset terbaik buat negara, empat pemain ini komitmen mereka luar biasa.
"Saya harap empat pemain ini akan beri impak buat skuad negara dalam kempen akan datang." tambahnya.