Cabaran awal Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT 2026) menanti buat skuad ragbi dari Kolej Universiti TATI yang berpangkalan dari Kemaman, Terengganu untuk berentap bersama naib juara edisi lalu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) setelah diundi di dalam Kumpulan B bersama Universiti Islam Malaysia (USIM) untuk berentap bermula pada Sabtu ini.
Melihat pada cabaran awal itu meletakkan skuad kerdil dari pantai timur ini perlu melepasi aksi peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum kembali fokus untuk mara pada peringkat perlawanan seterusnya.
Menurut pengurus pasukan, Ahmad Farid Ridhwan Zakaria, segala persiapan di tahap terbaik walaupun komitmen pemain-pemain senior dan pemain baharu yang baru memulakan semester pengajian mereka sejak Jun lalu.
"Gandingan pemain-pemain senior dan pemain baru menjadi taruhan bagi edisi SUKIPT kali ini. Walaupun sebahagian besar adalah muka-muka baru dalam pasukan, komitmen mereka untuk menyertai program latihan selama ini memberi tambah nilai untuk kami kembali memberi cabaran.
"Sasaran awal untuk meletakkan pasukan ini di dalam kelompok lima terbaik namun secara realistik pasukan-pasukan dari lain IPT juga kian meningkat naik khususnya pasukan dari Lembah Klang yang mempunyai minit permainan dalam lain-lain kejohanan yang lebih banyak dari kami.
"Justeru itu untuk peringkat awal ini kami perlu melepasi aksi peringkat kumpulan dengan sekurang-kurangnya mencatat satu kemenangan," ujarnya.
USIM menjadi cabaran pertama yang perlu ditempuhi dan bagi aksi seterusnya untuk bertemu UiTM pada hari pertama perlawanan sebelum diputuskan mana-mana pasukan untuk mara ke peringkat seterusnya pada hari kedua acara ragbi SUKIPT 2026 yang berlangsung di Padang B, Universiti Malaysia.
Selain UiTM, penyandang edisi lalu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan pasukan tuan rumah merupakan antara pasukan pilihan untuk memburu kejuaraan ragbi 7 sepasukan SUKIPT 2026 edisi ke-7 ini.