Skip to main content

Sukan Lain

Christian Chin, Madelyn ungguli Tenis Remaja ITF

mas1.jpg
Pemain lelaki negara, Christian Didier Chin, menepati ramalan apabila muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Tenis Remaja Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Gred 4 di Kuala Terengganu, hari ini.

Pilihan kedua kejohanan itu unggul memenangi perlawanan straight set 6-2, 6-4 ke atas wakil Jepun, Shunsuke Mitsui, kejuaraan kedua Christian dalam sirkit remaja ITF tahun ini.

Ketinggalan 3-4 dalam set kedua, Christian, 17, diberi tentangan sengit sebelum menamatkan perlawanan dalam tempoh sejam 50 minit ,sekaligus menafikan kebangkitan lawannya berusia 15 tahun itu.

Kejayaan itu membawa pemain kelahiran Sabah itu ke kedudukan ke-170 remaja dunia serta suntikan semangat terbaik menghadapi Kejohanan Tenis Remaja Asia di India bermula 29 Mei ini.

“Saya menukar corak permainan pada set kedua dengan menampilkan permainan lebih agresif kerana pemain lawan juga banyak melakukan serangan untuk meraih mata.

“Kejuaraan ini memberi keyakinan buat saya sebelum ke India. Walaupun turun sebagai pemain underdog, saya akan memberikan yang terbaik untuk memburu kedudukan 100 terbaik dunia,” ujarnya.

Christian turut cemerlang merangkul gelaran juara beregu lelaki selepas gandingannya bersama pemain India, Karan Srivastava, menewaskan pasangan Taiwan, Chen Yu Feng dan Han-Chih Lin 6-2, 6-3.

Acara perseorangan wanita pula menyaksikan pilihan kedua dari Indonesia, Priska Madelyn Nugroho, mengalahkan wakil India, Shivani Ameneni, dalam aksi tiga set 2-6, 6-4, 6-2.

Shivani yang berpasangan dengan wakil Thailand, Mai Napatt Nirundorn, mengubat kedukaannya dengan kejayaan menjuarai acara beregu mengatasi Madelyn dan Charmaine Shi Yi Sea dari Singapura 6-2, 4-6, 10-5.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Presiden Persatuan Tenis Terengganu (PTT), Datuk Mohd Jidin Shafee, sambil diiringi Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), Mirzan Tun Mahathir.

Advertisement

Must Watch Video