BERITA SUKAN AM
CGF tawar sokongan lebih RM600 juta untuk Malaysia ganti Australia anjur Sukan Komanwel 2026
Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang buat Malaysia untuk menggantikan Victoria selaku tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Tawaran itu merangkumi pelaburan kewangan signifikan bernilai £100 juta (RM602.14 juta) untuk menyokong penyampaian lokal dan perancangan legasi bagi edisi 2026 berkenaan.
Susulan satu tawaran rasmi CGF kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bulan lalu, MOM telah melakukan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan mengenai kemungkinan Malaysia untuk menganjurkan temasya empat tahun sekali itu pada 2026 susulan penarikan diri pemenang bidaan, Victoria, Australia tahun lalu.
Iklan
Menjawab pelbagai laporan media dan komen daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, baru-baru ini, Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria, berkata dalam satu kenyataan: "CGA (Persatuan Sukan Komanwel) Malaysia dan CGF telah mengadakan perbincangan mengenai peluang Malaysia untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026.
"Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel ialah pada tahun 1998, maka CGA Malaysia berpandangan bahawa Kerajaan Malaysia patut mempertimbangkan peluang sekali seumur hidup ini -- dan dengan sokongan pelaburan kewangan -- yang akan meneruskan kejayaan Kuala Lumpur 1998 dan meletakkan Malaysia kembali ke dalam peta sukan dunia.
"Dengan kemudahan bertaraf dunia sedia ada, Malaysia serba lengkap untuk menjadi tuan rumah acara antarabangsa yang melibatkan magnitud 74 negara dan wilayah Komanwel itu.
"Penganjuran ini hanya melibatkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa keuntungan sosio-ekonomi yang signifikan buat negara.
"Ia juga akan meningkatkan taraf sukan di Malaysia sama seperti selepas penganjuran edisi 1998.
"Ketika ini, CGF dan CGA Malaysia telah memberikan tawaran yang menarik buat Kerajaan Malaysia."
Must-Watch Video