Skip to main content

Sukan Asia

Bridge: Peluang kita tipis untuk mara

bridge.jpg
Kekalahan besar kepada Indonesia memberi tamparan kepada skuad bridge negara dengan pemain acara berpasukan lelaki, Tan Sze Guan, menganggap pingat Sukan Asia Jakarta-Palembang sesuatu yang mustahil untuk diraih dalam penampilan sulung temasya.

Malaysia tewas 0.93 berbalas 19.07 mata kepada Indonesia dalam aksi keempat.

Ia tamparan hebat kerana membuktikan jurang perbezaan di antara kedua-dua negara terlalu besar walaupun acara ini dipertandingkan buat kali pertama dalam Sukan Asia. 

Kekalahan ini juga menimbulkan persoalan mengenai tahap konsistensi pemain negara selepas menumbangkan gergasi, China, dalam aksi kedua.

"Indonesia sebuah pasukan mantap, sukar untuk menumpaskan mereka. 

"Mungkin kami boleh mencapai keputusan yang lebih baik lagi kalau bukan kerana salah faham yang berlaku antara kami. 

"Nasib juga diperlukan di samping mempamerkan aksi yang bagus untuk layak. 

"Bagaimanapun, ia sukar memandangkan ramai pemain handalan yang menyertai kejohanan ini," ujar Sze Guan. 

Atlet bridge negara yang mengeluarkan sendiri kos penyertaan ke Sukan Asia tidak menetapkan sasaran pingat.

Apa yang penting, penyertaan ini dapat meningkatkan minat rakyat Malaysia terhadap bridge yang lebih dikaitkan dengan aktiviti tidak sihat.
 

Advertisement

Must Watch Video