Skip to main content

Sukan Lain

Bonnie mahu tambah jumlah angkatan

bonnie.jpg
Atlet angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Gustin, mahu meningkatkan jumlah angkatan kepada 210 kilogram (kg) sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Powerlifting Piala Dunia di Dubai tahun depan.

Atlet kelahiran Sarawak itu berkata dia mahu terus fokus ke arah itu demi mencapai matlamat untuk mengulangi kejayaan cemerlang yang sama di Dubai setelah berjaya meraih dua pingat emas dalam Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Nur-Sultan, Kazakhstan minggu lalu.

“Saya kini menyasarkan untuk meningkatkan angkatan kepada 210kg selepas berjaya mengangkat lebih 200kg. 

“Saya harap latihan yang akan diterima selepas ini mampu membuatkan saya mencapai sasaran tersebut," katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari Kazakhstan hari ini. 

Bonnie meraih gelaran juara dunia kategori bawah 65kg selepas mencatat angkatan seberat 207kg dalam percubaan ketiga kejohanan itu di Pusat Kongres Astana, Kazakhstan. Sebelum itu, dia muncul juara apabila berjaya melakukan angkatan 109kg dalam acara 65kg (bawah) lelaki dalam kejohanan sama.

Atlet berusia 19 tahun itu berkata dia perlu mempamerkan aksi cemerlang untuk mengukuhkan kedudukannya dalam senarai ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Dia juga menegaskan kini semakin bersemangat selepas berjaya menewaskan dua juara dunia dalam kejohanan tersebut. 

"Sekarang masih 50-50 dan saya harap tuah kejayaan saya minggu lalu dapat digunakan ketika bertanding di Dubai tahun depan," katanya.  

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video