SUKAN LAIN
Boling Tenpin: Terbuka Malaysia, Thailand ditunda
Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Malaysia dan Thailand tahun ini terpaksa ditunda kerana tiada sebarang penyertaan didaftarkan susulan kebimbangan wabak novel koronavirus.
Terbuka Malaysia sepatutnya berlangsung bulan depan dan Terbuka Thailand pula menyusul sebulan kemudian, namun kedua-dua kejohanan itu terpaksa ditunda ke tarikh baru yang masih belum dimuktamadkan.
Menurut Presiden Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Datuk Dr. P.S. Nathan, skuad lelaki negara akan memulakan saingan tahun ini dalam Cabaran Boling Eropah di Munich bermula 14 Mac ini.
Iklan
Skuad wanita pula akan ke Amerika Syarikat bagi menyertai siri empat Kejohanan Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) bermula hujung bulan depan.
"Disebabkan virus itu, setiap kejohanan dalam masa terdekat ini terpaksa ditunda.
"Kejohanan (Terbuka) Malaysia pada bulan Mac, jadi kami terpaksa membatalkannya kerana tiada siapa akan datang ke sini.
"Saya tidak pasti sama ada ia akan dibatalkan, jika ditunda, ia lebih baik," katanya.
Sementara itu, bekas juara dunia, Wendy Chai, yang sebelum ini mengendali skuad remaja negara, akan menjadi pembantu kepada ketua jurulatih skuad senior, Holloway Cheah.
"Kami juga merombak barisan kejurulatihan.
"Jurulatih skuad remaja akan diserapkan ke dalam skuad pelapis.
"Ketua jurulatih kami juga akan menjadi pengarah kejurulatihan.
"Jadi, dia memiliki kuasa penuh," tambahnya.
Editor: Muzaffar Musa
Must-Watch Video