Skip to main content

Sukan Lain

Boling Padang Terbuka Thailand: Trio Sabah muncul naib juara

boling-padang-sabah.jpg
Trio dari Sabah muncul naib juara Kejohanan Boling Padang Bertiga Terbuka Thailand di Pattaya, baru-baru ini.

Pasukan Sabah A yang dibarisi Supian Buang, Mohd Saufi Azinuddin dan Saralia Lazarus meraih tempat kedua dalam kejohanan edisi pertama itu selepas tewas 11-16 kepada pasukan tuan rumah, K2N, dalam aksi final.

Walaupun sekadar naib juara, pencapaian pasukan dari Sabah itu masih boleh dibanggakan kerana mampu memberikan saingan hebat kepada pasukan tuan rumah yang dibarisi atlet Sukan SEA mereka.

Dalam pusingan awal, trio Sabah itu mengesahkan tempat menerusi pusingan play-off selepas mencatat tiga kemenangan, termasuk menewaskan K2N manakala dua lagi aksi menyaksikan mereka tewas sekali dan seri sekali.

Trio itu kemudian menewaskan satu lagi pasukan tuan rumah, SMB B, 16-14 dalam pusingan play-off dan kecemerlangan itu diteruskan di peringkat separuh akhir apabila mengejutkan SMB A 18-10.

Kemenangan itu menjanjikan pertemuan semula di antara Sabah A dan K2N di peringkat final, namun nasib lebih memihak pasukan tuan rumah berkenaan. 
  
Jurucakap Sabah A, Supian Buang, ketika dihubungi berkata, mereka berbangga dengan pencapaian itu walaupun gagal menjadi juara.

"Kami mungkin agak kepenatan ketika beraksi di peringkat final selepas beraksi empat perlawanan berturut-turut dan kejohanan di gelanggang tertutup itu juga memberikan kelebihan buat tuan rumah.

"Walaupun kecundang dalam final, kami gembira kerana menewaskan lawan daripada tuan rumah yang kini sedang melakukan persiapan untuk menghadapi Sukan SEA," katanya.

Advertisement

Must Watch Video