BOLING PADANG
Boling padang: Rombakan drastik bawa pulangan emas
Gandingan juara dunia boling padang kategori pair, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi, umpama rumusan terpantas yang membawa kejayaan di podium utama Kejohanan Dunia Boling Padang buat julung kalinya.
Ternyata rombakan selepas kegagalan Sukan Komanwel Birmingham tahun lalu menjadi keputusan tepat.
"Kami pilih atlet kami menerusi sistem ranking dan ia telah menunjukkan satu kejayaan," kata Presiden Persekutuan Boling Padang Asia, Datuk Awalan Abdul Aziz, mengenai kejayaan di Gold Coast, Australia itu.
Iklan
Pertama kali digandingkan bersama di pentas dunia, ia juga adalah gelaran sulung yang diraih mereka, sekali gus membuka mata banyak pihak untuk mengorak langkah di pentas tertinggi.
Di sebalik cerita gembira ini, Aleena sudah pasti individu yang paling terkesan dengan kejayaan yang dirakam di samping idolanya.
Baginya, bergandingan dengan Nur Ain adalah satu penghormatan yang perlu disudahkan dengan kejayaan buat negara.
"Saya agak terkejut jugalah sebab sebelum ini saya bergandingan dengan Alyani.
"Tapi jurulatih buat perubahan, saya jadi teruja sebab berpeluang beraksi dengan idola saya," kata Aleena di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
13 tahun lalu, Aleena merayu restu orang tuanya demi minat dengan sukan boling padang ini sambil memeluk si ibu yang sedang memasak ketika itu.
"Pada mulanya saya minta dia habiskan pelajaran dulu.
"Saya sebagai ibu bapa tetap beri sokong dengan bersyarat jangan abaikan pelajaran," kata ibunya, Hamidah Yaacob.
Must-Watch Video