Skip to main content

Sukan Lain

Boling padang: Keadaan padang tentukan nasib skuad negara

boling-padang.jpg
Keadaan padang dan kelajuan bola bakal menjadi penentu bagi skuad boling padang kebangsaan yang diberikan tanggungjawab berat membawa pulang lima daripada enam pingat emas yang dipertandingkan dalam Sukan SEA di Filipina, November depan.

Pengurus pasukan, Syed Zainal Abidin Syed Zain, yang mengakui sasaran itu memberikan tekanan buat pasukan negara, berkata atlet negara mampu mencapai sasaran tersebut berdasarkan prestasi semasa jika dapat menyesuaikan diri dengan padang.

“Sebelum ini, penganjur berkata akan membina venue baru tetapi dalam buku teknikal, memang venue yang kami pernah pergi sebelum ini (Clark Global City),” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Oleh sebab itu, katanya, skuad negara merancang untuk berlepas awal ke Manila menjelang kejohanan pra-Sukan SEA melibatkan Thailand, Filipina dan Malaysia, Oktober depan untuk membiasakan diri dengan keadaan padang berkenaan.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA pada Isnin lalu bersetuju menghantar sembilan atlet lelaki dan sembilan atlet wanita untuk temasya kali ini manakala masing-masing seorang atlet lelaki dan wanita diletakkan dalam senarai menunggu.

Sebagai rekod, dalam Sukan SEA 2017, tuan rumah, Malaysia, menyapu tujuh daripada lapan pingat emas yang dipertandingkan manakala baki satu dimenangi oleh Filipina.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video