Skip to main content

Bolasepak: Baddrol mahu skuad negara kekalkan rentak

baddrol.jpg
Kapten skuad B-23 negara, Baddrol Bakhtiar, berharap rentak kemenangan 3-1 ke atas Kyrgyzstan dalam aksi pertama kelmarin dapat terus membantu skuad negara meraih satu lagi keputusan positif berdepan Korea Selatan dalam Kumpulan E, Sukan Asia Indonesia di Bandung, malam ini.

Korea Selatan sebelum ini mempamerkan aksi lebih garang dengan meraih kemenangan 6-0 ke atas Bahrain, dan ketika diminta mengulas mengenai pertemuan pada malam ini, Baddrol berkata peluang untuk Malaysia mencipta kejutan tetap ada.

"Perlawanan ini sudah tentu dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana ini adalah perlawanan tumpuan dan kami sebagai pemain akan memberikan sebaik mungkin. 

"Kami akan mengikut arahan yang diberikan oleh jurulatih dan kalau boleh, kami mahukan keputusan yang positif. Kalau mendapat kemenangan, ia satu kejutan dan bonus bagi kami," katanya.

Tambahnya, kemenangan ke atas Kyrgyzstan nyata menyuntik semangat pasukan untuk meneruskan saingan, terutama bagi bertemu Korea Selatan.

"Kemenangan pertama memberikan motivasi kepada kami dan mengurangkan tekanan.

"Kami masih memerlukan mata yang penting dalam pertemuan dengan Korea Selatan bagi memastikan laluan seterusnya," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video