Ketua jurulatih bola tampar Kuala Lumpur Shark, Ong Chun Keong, mengakui pasukannya bakal turun dalam Kejohanan PKNS Invitational Volleyball League 2023 dengan status bukan pilihan atau ‘underdog’.
Jelasnya, pasukannya dibarisi majoriti pemain berusia B-19 dan turut diperkuatkan dengan seorang tonggak import dari Amerika Syarikat (AS), David Mckenzie.
Dia berharap pemain mudanya mengambil kesempatan ini untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman dalam usaha Kuala Lumpur Shark mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
Chun Leong dalam perkembangan sama turut memaklumkan persiapan mereka berjalan lancar dengan fokus utamanya kini adalah memastikan setiap pemain berada di tahap kecergasan terbaik menjelang aksi sulung berdepan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 12 September depan.
"Pasukan ini sudah dipersiapkan sejak tahun lalu melalui pemilihan skuad remaja.
"Saya harap mereka dapat menikmati kejohanan ini dan menimba pengalaman.
"Pemain saya perlu diuji oleh pasukan yang lebih baik selain meningkatkan kecergasan," kata Chun Leong.
Selain KL Shark dan SSBJ. Kumpulan A turut menampilkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta PKNS Eagle.
Sabah, ATM, Kelantan dan Gladiator pula bersaing dalam satu lagi kumpulan.
Shaiful Shamsudin
Thu Sep 07 2023