SUKAN ASIA 2018
Bola sepak: Skuad negara belum capai apa-apa - Kim Swee
Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, meganggap pasukannya masih belum mencapai apa-apa keputusan yang membanggakan selagi kalungan pingat Sukan Asia Indonesia belum dicapai.
Ketika semua pihak memuji penampilan skuad negara dalam temasya kali ini, Kim Swee masih menganggap belum masa yang sesuai bagi skuad kendaliannya mendapat pujian.
Tegas Kim Swee, jika anak buahnya berjaya mara ke peringkat terbaik dalam sejarah Malaysia dalam Sukan Asia sekalipun, itu tidak membawa apa-apa makna selagi tiada sebarang pingat dibawa pulang.
Iklan
"Kami masih belum berada di tempat sepatutnya. Walaupun jika kami menundukkan Jepun, Malaysia belum meraih apa-apa. Ia hanya suku akhir.
"Jika mahu mendapatkan pencapaian terbaik, kami harus mendapatkan pingat tetapi pemain-pemain perlu fokus dengan aksi berdepan Jepun terlebih dahulu. Saya harap mereka akan beraksi dengan bagus," kata Kim Swee.
Aksi menentang Jepun dalam pusingan 16 di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi malam ini adalah peluang hidup mati buat skuad negara.
Jepun, yang sudah diketahui kredibiliti mereka, dijangka akan memberi tentangan hebat buat skuad negara yang cemerlang menewaskan Korea Selatan 2-1 di peringkat kumpulan.
"Jepun semestinya sebuah pasukan yang berpengalaman kerana telah beraksi dalam banyak kejohanan dan mereka tampil dengan baik.
"Jadi, kami perlu fokus sama seperti ketika berdepan Korea Selatan, terutama di bahagian pertahanan," katanya lagi.
Must-Watch Video