Skip to main content

Sukan Asia

Bola sepak: Safawi yakin skuad B-23 akan terus cipta sejarah

asiana-safawi.jpg
"Kami akan terus berusaha untuk lakar sejarah", itu yang disuarakan pemain skuad B-23 negara, Safawi Rasid, selepas cabaran Malaysia terhenti dalam pusingan 16 saingan Sukan Asia Indonesia.

Safawi merupakan sebahagian daripada skuad yang melayakkan diri ke suku akhir sewaktu Kejohanan AFC B-23 Tahun di Kunshan, China, Januari lalu.

Ia juga kali pertama Malaysia mara ke peringkat itu dalam sejarah penyertaan kejohanan berkenaan.

Kali ini, dalam Sukan Asia, Malaysia juga mempunyai peluang untuk ke suku akhir tetapi hasrat itu dikecewakan oleh Jepun menerusi penalti Ayase Ueda pada minit-minit akhir permainan.

Begitupun, Safawi percaya skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu akan sentiasa mencuba membuktikan kemampuan dan mencipta sejarah tersendiri.

"Saya berasakan skuad B-23 mampu mara jauh selepas ini. Kami akan cuba untuk melakar sejarah pada masa akan datang," katanya.

Safawi menjadi penjaring terbanyak skuad negara dalam kempen Sukan Asia kali ini dengan empat gol.

Paling diingati sudah pasti dua jaringannya bagi membenam keegoan juara bertahan, Korea Selatan, 2-1 dalam saingan peringkat kumpulan.

Namun, Safawi mengakui pencapaian itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaanya gagal membantu Malaysia untuk mara lebih jauh.

"Saya belum berpuas hati. Saya mahu berusaha untuk membantu pasukan, cuma agak kecewa kerana gagal membantu Malaysia ke suku akhir."

Imej: Asiana

Advertisement

Must Watch Video