Skip to main content

Sukan Asia

Bola sepak: Pengalaman di Jepun bekalan buat Hadi

hadi.jpg
Penyerang skuad B-23 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, menganggap tempoh seminggu menimba ilmu bersama kelab Roasso Kumamoto sebelum ke Sukan Asia sebagai pengalaman beharga menjelang aksi dengan Jepun dalam aksi suku akhir Sukan Asia Indonesia, malam ini.

Selepas menyerlah dalam saingan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, Mac lalu, kelab J2, Kumamoto, telah memberikan peluang kepada penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu berlatih selama seminggu.

Penyerang berusia 18 tahun itu tidak melepaskan peluang keemasan apabila diberi kepercayaan mengemudi barisan serangan pasukan itu dalam aksi persahabatan bertemu kelab dari Shizuoka, Shizuoka Gakuen, yang berlangsung di Padang Akademi Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), pada awal Ogos.

Dengan Malaysia berjaya melepasi peringkat Kumpulan E dan kini berdepan Jepun dalam aksi suku akhir, Hadi menjelaskan pengalaman yang diraih bersama kelab J2 itu akan digunakan sebaik mungkin.

"Saya banyak meraih pengalaman dalam tempoh seminggu, terutama sekali daripada aspek teknikal," katanya.

"Untuk perlawanan esok (malam ini), jika saya diberikan peluang untuk beraksi, saya akan cuba menampilkan aksi terbaik.

"Berdepan Jepun, mereka memiliki kualiti yang hampir sama dengan Korea Selatan. Saya menjanjikan perlawanan yang sengit."

Advertisement

Must Watch Video