SUKAN ASIA 2018
Bola sepak: Kim Swee gembira keinginan tinggi pemain
Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, melihat disiplin tinggi serta semangat juang dalam perwatakan setiap pemain menjadi senjata terbaik selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan dalam saingan Sukan Asia 2018, malam tadi.
Skuad negara meneruskan momentum positif susulan kemenangan 3-1 ke atas Kyrgyzstan, Rabu lalu, tetapi tidak dinafikan aksi dengan Korea Selatan merupakan cabaran terbesar mereka, apatah lagi lawan merupakan juara bertahan Sukan Asia.
Bagaimanapun, permulaan baik skuad negara menyaksikan Safawi Rasid bijak memanfaatkan peluang, khususnya kemahiran tinggi dalam memperoleh jaringan kedua, sekali gus memberi lebih tekanan kepada Korea Selatan.
Iklan
"Walaupun kami tidak mempamerkan aksi bola sepak yang terbaik, apa yang penting adalah pemain-pemain menunjukkan perwatakan sebenar, percaya mampu mendapatkan keputusan yang bagus.
"Mereka membuktikan bahawa kerja keras dan keinginan boleh menghadirkan keputusan baik dalam apa-apa jenis sukan," ujar Kim Swee.
Sementara itu, pengendali Korea Selatan, Kim Hak-Bum, mengakui silap membuat percaturan ketika menghadapi Malaysia.
Kemenangan besar ke atas Bahrain menyaksikan Hak-Bum membuat lapan pertukaran terhadap kesebelasan utama.
Mereka yang terdesak dalam babak kedua membawa masuk bintang Piala Dunia 2018, Son Heung-Min, tetapi tidak mampu untuk mengatasi kelebihan yang dimiliki skuad negara.
“Perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku hari ini. Ia adalah kesilapan daripada saya kerana membuat pertukaran terhadap kesebelasan utama berbanding ketika aksi pertama.
“Saya memohon maaf kepada seluruh peminat kami,” katanya.
Must-Watch Video