Skip to main content

Sukan Asia

Bola sepak: Bakat skuad negara mampu digilap lagi

malaysiab23.jpg
Perjuangan skuad B-23 tahun negara dalam temasya Sukan Asia telah berakhir, namun masih ada potensi yang dapat terus digilap bagi mencapai misi seterusnya, iaitu layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuad negara mula menemui rentak di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi malam tadi serta mencipta beberapa peluang menghasilkan jaringan.

Malah, mereka hampir menembusi gawang Jepun dalam babak kedua menerusi Safawi Rasid tetapi percubaannya terkena tiang.

Ketika permainan seolah-olah akan memasuki ke masa tambahan, skuad negara memberikan penalti kepada lawan apabila Ayase Ueda dijatuhkan Dominic Tan.

Ueda yang masuk sebagai pemain gantian menyempurnakan penalti berkenaan bagi menafikan hasrat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu untuk mara lebih jauh dalam saingan kali ini.

"Menyedari ini merupakan perlawanan penyingkiran, kami telah berusaha yang terbaik. Jepun turun dengan barisan B-21 tetapi memiliki teknikal yang sangat tinggi," kata Kim Swee.

Di sebalik kekalahan itu, jurulatih berkenaan percaya dengan potensi yang ada dalam pasukan bagi menghadapi tugasan berikutnya.

Tumpuan selepas ini sudah pasti mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Kejohanan AFC B-23 Tahun pada 2020 yang juga merupakan sebahagian daripada kelayakan untuk Sukan Olimpik Tokyo.

"Separuh daripada skuad B-23 negara dapat membuat persiapan untuk kelayakan ke Tokyo 2020 dan kami mampu melakukannya. Kami perlu bersedia awal dan mengambil pengajaran daripada Jepun yang mula membuat persiapan bermula dengan saingan Sukan Asia."

Advertisement

Must Watch Video