Skip to main content

Sukan Asia

Bola sepak: Bahrain jejas rentak anak buah Kim Swee

malaysia-b-23.jpg
MALAYSIA 2 BAHRAIN 3

Langkah Datuk Ong Kim Swee membuat rombakan besar skuad negara tidak menjadi apabila tumpas 2-3 kepada Bahrain dalam aksi penutup Kumpulan E di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang, malam ini.


Hanya Baddrol Bakhtiar dan Adam Nor Azlin dikekalkan daripada skuad yang mencipta kejutan 2-1 ke atas Korea Selatan, Jumaat lalu, sesudah skuad B-23 Malaysia mengesahkan tempat lebih awal dalam pusingan 16.

Barisan kendalian Kim Swee dengan lapan perubahan dalam kesebelasan permulaan yang tampil dengan corak permainan lebih terbuka, bermula cemerlang apabila memimpin permainan menerusi rembatan deras Syahmi Safari dari luar kotak penalti pada minit ke-20. 

Bagaimanapun, keceriaan kem negara tidak kekal lama apabila dilanda kekecewaan berganda dengan membenarkan Bahrain menggegar gawang dua kali dalam tempoh empat minit.

Akibat kelalaian benteng, Mohamed Hardan mendapat kesempatan untuk mengikat kedudukan pada minit ke-33, disusuli tandukan Hamad Alshamsan daripada sepakan sudut, empat minit kemudian. 

Kedua-dua pasukan memiliki beberapa peluang menarik, lebih-lebih lagi Bahrain, namun kurang berbisa di dalam kawasan penalti.

Andai skuad Timur Tengah itu lebih tajam dalam penyudahannya, Malaysia harus menanggung kekalahan lebih besar.

Begitupun, Malaysia tetap bernafsu memburu kemenangan bagi mengekalkan momentum lalu memasukkan Akhyar Rashid dan Safawi Rasid pada penghujung permainan. 

Bahrain merakamkan gol ketiga ketika permainan berbaki seminit, sekali lagi menyaksikan pertahanan negara dikucar-kacirkan untuk Mohamed Hardan menemui sentuhan penyudah dengan menyungkit menewaskan penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim. 

Namun, Malaysia membuktikan tidak rela diratah apabila gandingan Safawi-Akhyar kembali menghantui lawan. 

Akhyar dijatuhkan di dalam petak penalti sebelum Safawi melepaskan rembatan kencang dari jarak 12 ela untuk gol keempatnya sepanjang kempen ini. 

Sementara itu, Korea Selatan menundukkan Kyrgyzstan menerusi jaringan tunggal Son Heung-Min untuk mengiringi Malaysia ke pusingan kedua. 

Malaysia akan bertemu Jepun yang mengakhiri Kumpulan D di belakang Vietnam yang mengutip mata penuh. 

Kim Swee yang ditemui sejurus perlawanan menyimpulkan: "Selepas membuat rombakan, rentak kami tidak berapa baik dan persefahaman yang masih kurang. 

"Selepas mendahului, kami mengambil mudah sehingga dihukum. 

"Saya tidak berapa berpuas hati dengan beberapa pemain yang tidak menggunakan peluang ini.

"Mereka sepatutnya menunjukkan kesungguhan. Yang pertama, membuktikan kepada saya bahawa mereka mampu bermain dalam kesebelasan utama. 

"Mereka harus bangkit jika diberikan peluang lagi selepas ini."

Advertisement

Must Watch Video