Kapten skuad bawah 23 tahun negara, Baddrol Bakhtiar, berpandangan kurang persefahaman antara pemain yang diturunkan ketika menentang Bahrain semalam menyaksikan mereka gagal memperoleh mata penuh bagi aksi terakhir peringkat kumpulan.
Malaysia tunduk 3-2 dalam aksi di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang itu walaupun terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Muhammad Syahmi Safari tatkala gol hasil sepakan penalti Safawi Rasid dilihat gagal mengekang lawan daripada meraih kemenangan.
Selaku ketua pasukan, Baddrol berpendapat persefahaman yang kurang dapat dilihat sehingga menyebabkan beberapa pergerakan sukar dilancarkan oleh skuad negara tetapi yakin semua pemain akan bangkit untuk aksi menentang Jepun, Jumaat ini.
"Untuk aksi semalam, ramai pemain simpanan yang diturunkan dan seluruh pasukan memberikan aksi 100 peratus tetapi tiada rezeki kami. Kami lebih fokus untuk aksi pusingan kalah mati berdepan Jepun," katanya.
"Kami akan melihat aspek yang perlukan pembetulan dan mungkin jurulatih akan memberi teguran untuk pemain-pemain mempersiapkan diri ketika berdepan Jepun.
"Kami lebih fokus untuk menentang Jepun kerana mereka telah dibentuk dalam tempoh yang lama. Kami akan memberikan persembahan 100 peratus dan mungkin kesebelasan utama akan kembali sambil mengharapkan satu lagi keajaiban berlaku."
Penulis Jemputan
Tue Aug 21 2018