Skip to main content

Sukan Asia

Bola baling: CDM pertahan langkah berani senaraikan sukan bukan berprestasi tinggi

abdul-azim-zabidi.jpg
Pembabitan kontinjen negara yang tidak dibendung dalam kategori B Sukan Asia 2018 telah menghadirkan sisi negatifnya. 

Ia susulan kegagalan skuad bola baling lelaki negara yang gagal mempamerkan impak positif dalam dua aksi di peringkat Kumpulan A ketika dibelasah Qatar dan Iran. 

Begitupun, chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, menjelaskan langkah itu diambil atas sebab yang difikirkan munasabah. 

"Mereka menyertai Sukan Asia untuk mendapatkan pendedahan dan memperbaiki ranking di benua Asia. 

"Besar kemungkinan mereka tidak akan mencapai apa-apa pingat tetapi yang utamanya, mereka inginkan pendedahan serta melihat kedudukan mereka dalam kalangan negara-negara Asia. 

"Sebab itu kami benarkan penyertaan mereka," jelas beliau. 

Namun, pembabitan skuad bola baling mendapat kritikan hebat susulan maruah negara mudah diratah sepertimana yang berlaku ketika tunduk 11-64 kepada Qatar dalam aksi pertama Isnin lalu, disusuli 11-55 kepada Iran semalam meskipun pada hakikatnya, kontinjen Malaysia turun dalam Sukan Asia adalah untuk beradu kekuatan sebenar. 

"Langkah ini diambil supaya pada masa akan datang, mereka akan tahu bagaimana untuk meningkatkan prestasi dan persembahan mereka. 

"Ini adalah satu perkara yang biasa. Oleh kerana penganjuran kali ini di Indonesia dan tidak melibatkan kos yang begitu mahal, jadi memang kami menggalakkan mereka untuk turut serta," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video