Tanggal 28 Jun lalu menjadi titik bersejarah apabila bintang WWE Raw hadir ke Singapura bagi satu-satunya sesi jelajah Asia Tenggara bagi tahun 2017.
Penulis yang hadir sebagai petugas media telah diberi amanah untuk membuat liputan acara ini dan ia adalah satu pengalaman yang amat berharga kerana dapat menyaksikan acara ini dengan lebih dekat, seterusnya dapat bersua muka secara langsung dengan para bintang WWE yang selama ini hanya dapat ditonton di kaca TV.
Nama-nama besar daripada jenama Raw seperti Finn Balor, Seth Rollins, Dean Ambrose, Alexa Bliss, Samoa Joe, Roman Reigns dan ramai lagi menjadi taruhan dan ia berjaya menarik hampir 12,000 penonton memenuhi arena Stadium Nasional Singapura.
Walaupun acara hanya bermula sekitar jam 7.30 malam, namun penulis hadir lebih awal iaitu pada jam 3.00 petang kerana dijemput untuk turut sama dalam sesi temubual santai bersama Juara Antara Benua WWE, The Miz di hotel Mandarin Oriental.
Biarpun telah menempuh penerbangan panjang berdurasi hampir 24 jam dari Los Angeles sebelumnya dan hanya tiba sekitar jam 1.30 petang, namun Miz tetap kelihatan bertenaga dan menjawab segala persoalan daripada para wartawan dengan ramah dan baik sekali. Sayang sekali isteri beliau, Maryse tidak dapat turut serta dalam sesi ini kerana masih keletihan dan terpaksa berehat di bilik hotel.
Miz turut membawa bersama bengkung Kejuaraan Antara Benuanya dan kami yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama bengkung sebenar tersebut. Walaupun pada awalnya, kami agak segan untuk meminta kebenaran, namun Miz sendiri yang beria-ia mengarahkan kami agar menyandang di bahu kejuaraan kebanggaannya itu.
Untuk rekod, ini adalah pertemuan kedua penulis menemubual The Miz di mana kali terakhir adalah ketika acara promosi WWE Kuala Lumpur pada September 2014 yang lalu. Seperti biasa, Miz masih kekal peramah dan menampilkan tahap profesional yang tinggi walaupun pada hakikatnya, beliau adalah seorang bintang yang memainkan karakter jahat di kaca TV.
Anda boleh klik ke pautan ini untuk mengikuti temubual penuh bersama The Miz.
Selesai menemubual The Miz, penulis juga sempat bergambar dengan dua bintang wanita utama Raw iaitu Juara Wanita Raw, Alexa Bliss dan Nia Jax. Biarpun mereka sedang sibuk menjalani latihan di gym hotel, namun keduanya masih tidak jemu-jemu melayan peminat yang ingin bergambar bersama.
Sekitar jam 5.00 petang, penulis bergegas memandu ke Stadium Nasional Singapura bagi mendapatkan pass media daripada kakitangan WWE di sana. Ternyata tuah sekali lagi buat penulis kerana bukan sahaja diberi pass media di arena, malah turut diberikan pass ke acara Meet and Greet bersama dua bintang hebat Raw iaitu bekas Juara Wanita Raw, Sasha Banks dan bekas Juara Heavyweight Dunia WWE, Seth Rollins.
Ternyata kedua mereka amat peramah dan melayan peminat yang hadir tanpa jemu serta tidak mengenal penat. Bukan sahaja mengambil gambar bersama, malah Seth dan Sasha turut menandatangani otograf di atas replika bengkung kejuaraan, patung figura aksi, poster dan banyak lagi barangan memoriblia yang dibawa peminat bertuah yang hadir.
WWE Singapore bermula
Pintu masuk ke arena mula dibuka seawal jam 6.00 petang dan para peminat mula memenuhi stadium. Penulis antara beberapa individu daripada media telah diberikan pass eksklusif di mana dengan pass ini, kami bebas untuk berlegar di ruang berhampiran gelanggang untuk merakam foto-foto menarik dari jarak yang lebih dekat. Satu pengalaman baharu yang amat berharga buat penulis.
Sesi pembukaan acara WWE Live kali ini agak berbeza berbanding acara-acara sebelum ini. Jika sebelum ini, WWE akan memainkan rakaman ucapan oleh Triple H bagi mengalu-alukan kehadiran WWE Universe, namun kali ini lagu tema acara mingguan Raw berserta montaj rasmi dipaparkan, memberikan suasana seolah-olah kita sedang menonton acara mingguan paling lama dalam sejarah siri TV Amerika tersebut.
Bintang veteran WWE, Chris Jericho membuat kejutan apabila lagu temanya Break The Walls Down berkumandang dan menjadi pembuka tirai malam itu. Kehadiran Y2J agak tidak disangka-sangka kerana kini beliau sedang bercuti daripada tampil untuk acara TV WWE. Munculnya Jericho ibarat bonus kepada semua yang hadir.
Masuk sahaja ke gelanggang, Jericho mencapai mikrofon daripada juruhebah gelanggang Jojo dan memulakan promonya. Ujar Jericho, beliau telah hampir 15 tahun tidak ke Singapura dan tanpa berselindung, beliau menyatakan sebab mengapa beliau tidak ingin ke negara ini kerana ia adalah sebuah negara yang teruk.
Sebaik sahaja penonton mendengar ungkapan kata-kata tidak enak tersebut, maka fahamlah semua yang kehadiran Jericho kali ini membawa pesona sebagai bintang berhaluan kiri. Justeru, segala tutur kata Jericho selepas itu disambut dengan sorakan boo dan peminat Singapura nyaris-nyaris dimasukkan ke dalam The List Of Jericho, sebuah senarai nama yang menjengkelkan Jericho.
Bintang NXT, Hideo Itami menjadi lawan Jericho. Itami yang baru saja pulih daripada kecederaan beberapa bulan lalu tampak garang dan memberikan saingan sengit kepada Jericho. Perlawanan malah melarat hingga ke luar gelanggang menyebabkan adrenalin keterujaan para peminat semakin meningkat.
Biarpun Y2J berjaya mengenakan kunci Tembok Jericho ke atas Itami, namun bintang Jepun itu bijak mengatur strategi seterusnya memerangkap vokalis kumpulan Fozzy itu dalam posisi GTS dan beroleh kemenangan.
Perlawanan begi merebut Kejuaraan Regu Raw pula mengisi slot kedua apabila pasangan Heath Slater dan Rhyno bertemu penyandang juara Sheamus dan Cesaro. Kehadiran Rhyno menyemarakkan sorakan ECW tanpa menidakkan sorakan kuat buat sang juara yang kelihatan gagah dan megah sewaktu melangkah masuk ke gelanggang.
Namun semangat berkobar-kobar Slater dan Rhyno belum cukup untuk menundukkan The Celtic Warrior dan Swiss Superman apabila kedua-dua bintang dari benua Eropah tersebut berjaya mempertahankan kejuaraan mereka.
Bekas Juara NXT, Bo Dallas pula bertemu Titus O' Neil dalam perlawanan ketiga. Bo tampak lebih fokus dan garang dengan imej berjambang di muka. Mungkin sebagai persediaan untuk menyertai pakatan Wyatt bersama abangnya Bray tidak lama lagi.
Sayang sekali, perlawanan ini hanya berlangsung selama beberapa minit apabila Titus berjaya mengenakan bantingan kuat ke lantai gelanggang dan diisytiharkan sebagai pemenang.
Segmen selingan menyusul selepas itu apabila bintang 'kuat sembang' kegemaran ramai, Enzo Amore muncul dan menggamatkan stadium. Namun belum sempat beliau menyudahkan bait-bait slogan yang sering diucapkan setiap kali ke gelanggang, bekas pasangannya Big Cass muncul dengan wajah masam mencuka.
Sejajar dengan kisah pengkhianatan Cass ke atas Enzo sejak dua minggu lalu, Cass menyatakan rasa kesal terhadap apa yang telah beliau lakukan ke atas Enzo. Tangan turut dihulur tanda permohonan maaf dan Enzo menerimanya walaupun rasa curiga masih bersarang di dada.
Malang buat insan bernama Enzo kerana mudah termakan kata-kata manis. Sebaik sahaja dirinya meraikan persahabatan yang kembali terjalin tersebut, Cass dengan bermurah hati menghadiahkan tapak kasut tepat ke muka Enzo sebelum berlalu meninggalkan gelanggang.
Perlawanan seterusnya pula amat dinantikan di mana Juara Antara Benua WWE, The Miz berpasangan dengan pencabar utama Kejuaraan Universal di acar Great Balls of Fire, Samoa Joe menentang dua bekas ahli The Shield iaitu Dean Ambrose dan Seth Rollins.
Perlawanan agak bertukar lucu kerana Miz yang kelihatan acah-acah berani diejek sebagai 'ayam'oleh para penonton hinggakan sorakan KFC bergema bagi memperlekeh The Miz. Ambrose dan Rollins juga seakan telah melupakan segala sengketa antara mereka sebelum ini dengan mempamerkan kerjasama yang baik bagi mendepani Joe dan Miz.
Melihatkan perlawanan tidak begitu menyebelahi Joe dan Miz, Maryse cuba mengganggu fokus pengadil dan ini membuatkan pengadil terpaksa menghalau Maryse ke belakang. Peluang ini diambil sebaik mungkin oleh Rollins dan Ambrose apabila mereka bijak memperdaya lawan masing-masing dan berjaya memenangi perlawanan.
Tidak lengkap sekiranya hanya bintang lelaki sahaja beraksi. Perlawanan kelima pula menyaksikan bintang wanita utama Raw bertembung dalam perlawanan tiga lawan tiga. Juara Wanita Raw, Alexa Bliss bergandingan dengan Nia Jax dan Emma. Manakala pasukan lawan suka ramai pula adalah Bayley yang bekerjasama dengan Sasha Banks dan dibantu oleh Juara Wanita NXT, Asuka.
Kelebihan sememangnya berpihak kepada pasukan bekas juara iaitu Bayley, Sasha dan Asuka apabila mereka dengan mudah menundukkan Alexa, Nia dan Emma.
Setelah acara berhenti rehat selama 20 minit, acara kembali disambung dengan perlawanan melibatkan dua bekas anggota Bullet Club. Kali ini, bintang Ireland Finn Balor bertemu bekas Juara Regu Raw, Karl Anderson yang diiringi pasangannya Luke Gallows.
Para penonton mengambil kesempatan ini dengan bersorak nama gagasan Bullet Club yang pernah dianggotai ketiga-tiga mereka sewaktui di New Japan Pro Wrestling beberapa tahun lalu. Namun ia tidak menjadi kenyataan apabila 'ciuman jari' Too Sweet yang menjadi isyarat lazim gagasan itu sekadar menjadi modal buat Anderson memukul curi Balor.
Perlawanan juga dilihat agak tidak seimbang apabila sesekali Luke Gallows bermain kotor dengan membantu Anderson menyerang Balor dari luar gelanggang. Mujur Balor mampu bertahan dan pasakan tapak kaki Coup De Grace berjaya dilaksanakan tepat di dada Anderson memungkinkan beliau beroleh kemenangan bergaya.
Kini tiba di acara kemuncak dengan perlawanan melibatkan Bray Wyatt dengan Roman Reigns. Suasana arena bertukar gelap dan diselubungi pantulan lampu oleh peminat seolah-olah kelip-kelip sedang berterbangan di seluruh pelusuk ruang penonton yang ada.
Ironi sekali apabila Wyatt yang memainkan karakter jahat disambut dengan sorakan positif oleh peminat. Berbeza dengan Roman Reigns yang mendapat sorakan boo walaupun masih terdapat saki baki penonton yang menyambut baik kemunculannya.
Sebagai perlawanan penutup tirai, pertemuan Wyatt dan Roman agak sengit dengan kedua-dua individu berbalas serangan. Beberapa gerakan lazim juga dilakukan namun masih belum cukup untuk melemahkan lawan masing-masing.
Berbekalkan tumbukan layang Superman dan rempuhan bahu kuat ke bahagian abdomen gendut Wyatt, Roman akhirnya berjaya menamatkan perlaawanan ini dengan membawa peluang kejayaan. Walaupun mendapat sorakan negatif daripada majoriti penonton, namun Roman pandai mengambil hati para peminat apabila menghadiahkan sarung tangannya kepada penonton bertuah dan mengambil gambar bersama peminat di tepi gelanggang.
Acara ini menutup tirainya sekitar jam 10.45 malam. Melihatkan reaksi keceriaan yang terpapar di wajah setiap penonton yang hadir memberi isyarat yang masing-masing amat berpuas hati dengan persembahan dan mutu perlawanan yang ditampilkan. Penulis sendiri memberikan 4.5 bintang di atas acara ini dan ia boleh dianggap setara dengan kualiti perlawanan yang ditampilkan di acara PPV bulanan dengan barisan bintang yang mantap.
Juruhebah gelanggang, Jojo dan Mike Rome turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin kerana telah memberikan satu suasana yang hebat dalam setiap perlawanan yang ditampilkan. Dengan jumlah kehadiran penonton yang memberansangkan, tidak mustahil WWE akan kembali semula ke sini tidak lama lagi.
Semoga Malaysia pula akan terpilih sebagai destinasi seterusnya untuk menjadi tuan rumah untuk tahun akan datang. Para WWE Universe di Malaysia sudah pasti merindukan semua bintang WWE setelah kali terakhir mereka beraksi pada tiga tahun lalu.
Terima kasih WWE dan tuan rumah Singapura atas pengalaman yang tidak mampu untuk diungkap dengan kata-kata ini.
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro On-the-Go.
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.