Skip to main content

Sukan Lain

Beri respons semua aduan diterima -- Phoong

phoon-kbs-sabah.jpg
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, mahu segala aduan yang diterima daripada orang ramai berkaitan kemudahan di semua kompleks sukan di seluruh negeri itu diberikan maklum balas.

Katanya, pihak Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) perlu lebih proaktif dalam menangani perkara seperti itu bagi memastikan sistem penyampaian mereka lebih berkesan, termasuk memberikan maklum balas terhadap apa-apa aduan walaupun kecil.

"Kompleks sukan sering dikunjungi orang ramai yang mahu menggunakan kemudahan di situ serta atlet yang mahu menjalani latihan kerana ia adalah kemudahan awam dan oleh sebab itu, kami perlulah menyediakan kemudahan terbaik buat mereka.

"Saya faham peruntukan untuk menyediakan prasarana sukan terbaik tidaklah begitu cukup, namun kita sentiasa berusaha.

"Apa yang penting, kita terima semua aduan yang ada dan mesti memberikan maklum balas," katanya ketika ditemui selepas melancarkan seminar kompetensi kepada anggota perkhidmatan LSNS dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Galeri Majlis UMS, Kota Kinabalu hari ini. 

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa, Naib Canselor UMS, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, Pengerusi LSNS, Dr. KH Tan dan Pengurus Besar LSNS, Terrance Edward Pudin. 

Phoong berkata antara langkah proaktif yang boleh digunakan kakitangan awam dalam memberi maklum balas terhadap setiap aduan adalah dengan menggunakan medium media sosial. 

"Saya tidak katakan sebelum ini kakitangan tidak memberi maklum balas tetapi saya mahu mereka lebih proaktif dengan menggunakan medium-medium baru sepeti aplikasi Whatsapp atau Facebook. 

"Mungkin ada aduan-aduan yang sudah ada rekod di peringkat daerah tetapi tidak sampai ke peringkat Lembaga Sukan Negeri Sabah, kadang-kadang menteri sendiri tidak tahu apa masalah yang timbul.

"Kita mahu rakyat merasai perubahan, bukan sekadar kita tukar pengurusan tetapi masih di takuk lama," katanya.

Advertisement

Must Watch Video