Skip to main content

Sukan Asia

Berbasikal trek: Wakil negara pamer aksi positif

azizul.jpg
Dua pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menempatkan diri dalam kelompok 10 terpantas saingan kelayakan acara pecut individu lelaki Sukan Asia 2018, hari ini.

Memasuki hari ketiga di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Azizulhasni dan Shah Firdaus turun beraksi bagi saingan kelayakan acara pecut individu.

Azizulhasni menduduki tangga kelima terpantas selepas mencatat masa 10.046 saat, sekali gus terlepas peluang untuk memperbaharui rekod peribadi, 9.774s, yang dilakukan ketika Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Nilai, Mac lalu manakala Shah Firdaus meraih catatan masa 10.053s untuk menduduki tangga ketujuh.

Keputusan itu menyaksikan kedua-duanya menempatkan diri dalam pusingan suku akhir yang akan berlangsung  petang ini.

"Sewaktu berlepas, segalanya lancar. Cuma, selepas itu saya melakukan kesilapan di bahagian selekoh sehingga memberi kesan kepada catatan masa. Ia juga menyebabkan saya berada di kedudukan kelima," kata Azizulhasni.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara yang turun beraksi adalah Nur Aiman Zariff bagi acara 4 kilometer kejar-mengejar individu, di mana dia menggantikan Eiman Firdaus Mohd Zamri yang mengalami masalah kesihatan.

Hasilnya, dia menamatkan saingan di kedudukan kelapan dengan catatan 4 minit 36.723s, sekali gus tidak dapat berada dalam kelompok empat terbaik bagi meneruskan kemaraan ke final.

"Catatan masa tidak begitu bagus tetapi dalam keadaan yang biasa, ia memadai. Mungkin jika ada peluang lain selepas ini, saya akan perbaiki. Cuma, saya akan persiapkan diri lebih awal," ujar Aiman.

Bagi saingan omnium wanita, Jupha Somnet kini dilihat berada pada kedudukan yang baik kerana selepas tamat dua perlumbaan, dia mengumpul 46 mata untuk berada di kedudukan keempat, hanya ketinggalan enam mata berbanding pendahulu dari Korea Selatan.
 

Advertisement

Must Watch Video