Skip to main content

Sukan Asia

Berbasikal trek: Percaturan taktikal bawa Azizulhasni ke final

zizu.jpg
Seorang sahaja lagi pelumba menjadi halangan buat pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, dalam memburu pingat emas acara pecut individu lelaki saingan Sukan Asia 2018.

Azizulhasni meneruskan kemaraan ke final selepas menewaskan pelumba Korea Selatan, Im Chae-bin, dalam separuh akhir, namun impian untuk berentap dengan rakan sepasukan lebur apabila Shah Firdaus Sahrom terkandas.

"Setiap individu mempunyai muslihat dan taktik tersendiri. Banyak aspek yang  diperlukan untuk memainkan psikologi terhadap lawan.

"Di atas kertas, Im Chae-bin lebih pantas tetapi saya menyainginya daripada segi taktikal. Tadi, saya tidak berdepan masalah dan yakin mampu menewaskannya.

"Sejak awal perlumbaan, Chae-bin telah tewas daripada segi mental," kata Azizulhasni.

Sementara itu, bagi acara pecut individu wanita, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosidi, gagal meneruskan kemaraan setelah terkandas di pusingan satu perlapan.

Hasrat Farina untuk mara ke suku akhir terpaksa dilupakan selepas dibezakan catatan masa 0.204s lebih perlahan berbanding wakil tuan rumah, Crismonita Dwi Putri, yang melakar 11.606s.

Anis Amira pula tewas di tangan atlet Korea Selatan, Cho Sunyoung, selepas lawan mencatat 11.491s, dibezakan 0.351s.

Advertisement

Must Watch Video