Rentetan kejayaan membolot dua pingat emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2024 di India -- pelumba basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri, kini menanam hasrat untuk memperbaharui rekod kebangsaan dalam Kejohanan Piala Negara-Negara (UCI) di Hong Kong, Mac depan.

Nurul Izzah yang baru berusia 21 tahun itu melabel kejayaan meraih pingat emas sebagai tonik terbaik dalam memulakan kempen 2024 dengan cukup gemilang.

Tambah Nurul Izzah lagi, misi untuk berada dalam Program Road to Gold (RTG) Sukan Olimpik Los Angeles 2028 pastinya menjadi buruan, namun apa yang lebih penting adalah fokus dalam memperbaiki teknik tunggangan selain mahu menaikkan berat badan.

"Saya sangat gembira kerana dapat mengetepikan peserta china, mereka sangat handal.

"Ini bukan penghujungnya (kemuncak prestasi), ada lagi (aspek) yang perlu diperbaiki untuk capai tahap dunia.

"Jadi saya perlu terus memandang ke depan dan terus tingkatkan prestasi seperti memecah rekod kebangsaan dan catatan peribadi.

"Saya masih lagi perlu perbaiki banyak lagi perkara, misalnya catatan masa dan perlu besarkan lagi (otot)," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.




Nurul Izzah menggondol emas acara keirin dan 500 meter ujian masa di Veldrom Indira Gandhi, India, bagi meletakkan diri antara pelumba trek berbasikal meningkat naik negara dan mungkin pengganti kepada bekas ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa.

"Saya suka dengan gelaran 'The Pocket Rocketwomen' kerana sama seperti Datuk Azizulhasni Awang.

"Saya terinspirasi dengannya tapi banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk saya capai tahap sepertinya," katanya lagi.