Skip to main content

Sukan Asia

Berbasikal trek: Josiah gembira Azizulhasni temui gandingan sebenar

josiah.jpg
Bekas pelumba basikal trek negara, Josiah Ng, gembira dengan kemampuan dua pelumba muda yang digandingkan bersama Azizulhasni Awang untuk memecahkan rekod kebangsaan acara pecut berpasukan dalam saingan Sukan Asia, kali ini.

Sebelum ini,  Josiah bersama Azizulhasni dan Rizal Tisin memegang rekod kebangsaan bagi acara pecut berpasukan, iaitu 44.725 saat yang dilakukan ketika saingan Sukan Olimpik Beijing 2008.

Rekod itu bertahan selama 10 tahun tatkala Azizulhasni kini sudah mempunyai dua gandingan dan kudrat yang lebih muda.

Ternyata peranan yang dimainkan oleh Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Muhammad Fadhil Mohd Zonis memberi impak tersendiri apabila mereka mencatat 43.934s ketika pusingan kelayakan, sekali gus mencipta rekod kejohanan sebelum pencapaian itu diatasi Jepun.

"Apa yang saya lihat, mereka melakukan sesuatu yang hebat apabila mencipta rekod baru kejohanan. Mereka hadir bukan sebagai pilihan utama dan akhirnya menundukkan pencabar utama.

"Saya gembira berada di sini untuk melihat mereka kerana 10 tahun adalah tempoh yang lama untuk sebuah rekod," kata Josiah.

Josiah masih menggalas tugas sebagai jurulatih pasukan trek Thailand sambil saingan di Indonesia menjadi pendedahan buat mereka untuk memberi cabaran lebih hebat dalam Sukan SEA Filipina, tahun depan.

Dia juga menambah, sandaran tinggi diletakkan kepada bekas juara dunia remaja kelahiran Australia, Jai Angsuthasawit, untuk memberi cabaran hebat dalam saingan keirin yang bakal disertai juara dunia tahun lalu, Azizulhasni.

"Saya mempunyai seorang pelumba hebat. Dia merupakan bekas juara dunia remaja dan dia akan beraksi bersama barisan pelumba elit dari Jepun serta Azizulhasni.

"Diharapkan, dia mampu melakar kejutan."

Advertisement

Must Watch Video