Skip to main content

Sukan Asia

Berbasikal trek: Aiman akur tidak bersedia di Indonesia

aiman.jpg
Penyertaan pada saat-saat akhir menyebabkan pelumba berbasikal trek negara, Nur Aiman Zariff, tidak mempunyai persediaan sepenuhnya untuk menghadapi acara 4 kilometer kejar-mengejar individu dalam saingan Sukan Asia, semalam.

Pembabitan Aiman di pentas Sukan Asia kali ini hanyalah untuk acara kejar-mengejar berpasukan lelaki bersama Irwandie Lakasek, Afiq Huznie Othman serta Daniel Haikal Edy Suhaidee.

Bagaimanapun, masalah kesihatan yang menimpa Eiman Firdaus Zamri mengakibatkan dia perlu menggantikan rakan sepasukannya itu untuk saingan individu.

Ternyata kurang persiapan menyaksikan Aiman hanya dapat menamatkan saingan di kedudukan kelapan keseluruhan menerusi catatan 4 minit 36.723 saat.

"Eiman Firdaus tidak sihat pada saat-saat akhir, jadi saya perlu gantikannya. Saya tidak bersedia untuk acara ini," kata Aiman.

Sementara itu, Aiman menganggap penyertaannya dalam Sukan Asia kali ini sebagai pengalaman baru untuk bersaing dengan antara yang terbaik di benua Asia.

Walaupun pernah menyertai Kejohanan Trek Asia sebelum ini, dia melihat persaingan di pentas Sukan Asia lebih sengit.

"Takut memang ada tetapi dengan persiapan yang kurang, jadi ini dikira permulaan yang baik," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video