Skip to main content

Sukan Asia

Berbasikal: Beasley anggap sasaran Jakarta 2018 tercapai

beasley.jpg
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, menganggap penyertaan dalam Sukan Asia 2018 Indonesia-Palembang mencapai matlamat serta sasaran yang ditetapkan.

Empat tahun lalu di Incheon, skuad berbasikal trek negara membawa pulang satu pingat perak menerusi Fatehah Mustapa dalam acara keirin wanita di samping gangsa yang dimenangi Josiah Ng untuk acara keirin lelaki.

Lantas, sasaran untuk saingan di Jakarta kali ini lebih menjurus kepada meraih satu emas dengan Azizulhasni Awang menjadi taruhan utama.

Permulaan baik buat mereka apabila meraih pingat perak untuk acara pecut berpasukan lelaki yang diwakili Azizul, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

Ia disusuli pingat emas daripada Azizulhasni dalam acara pecut individu selain terpaksa berpuas hati dengan gangsa dalam acara kegemarannya, keirin.

"Saya gembira dengan prestasi mereka. Kami hadir dengan satu sasaran tetapi meraih dua lagi pencapaian membanggakan," kata Beasley.

Sementara itu, Beasley mengakui masih wujud jurang daripada segi kualiti apabila mengulas mengenai tahap pelumba wanita negara.

Ketiadaan Fatehah yang tidak disenaraikan berikutan faktor prestasi menyaksikan Anis Amira Rosidi serta Farina Shawati Adnan menjadi taruhan di samping keupayaan Ju Pha Som Net memberi cabaran hebat untuk acara omnium.

"Pelumba-pelumba wanita masih muda, berusia 20 dan 22 tahun. Jadi, saya tidak meletakkan harapan tinggi dan mereka semestinya harus mendapat pengalaman. 

"Saya gembira dengan apa yang dipamerkan."

Advertisement

Must Watch Video