Skip to main content

Sukan Lain

Balamurugan sedia didik Azreen hadapi kejohanan antarabangsa

azreen.jpg
Setelah cemerlang mendidik ratu trek negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, jurulatih olahraga negara, M. Balamurugan, kini mempunyai tugasan baru untuk mempersiapkan bintang dalam pembikinan, Azreen Nabilah Alia, menghadapi cabaran di pentas yang lebih tinggi.

Azreen mencipta sensasi dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak tempoh hari setelah meraih tiga emas dalam acara 100, 200 dan 4x100 meter pecut, di samping memecahkan rekod 100m Sukma dengan catatan 11.81 saat sehingga diangkat menjadi Olahragawati Sukma 2018.

Balamurugan mengakui ia pencapaian yang membanggakan meskipun Azreen hanya mula berlatih sepenuh masa di bawah kendaliannya sejak Mac lalu.

Kini, Balamurugan akan cuba sedaya-upaya untuk mempertingkatkan mutu larian Azreen, khususnya daripada segi catatan masa, supaya dia mampu menjadi rakan regu yang baik dengan ratu trek negara, Zaidatul Husniah.

"Azreen masih muda dan saya tidak mahu memberikan tekanan kepadanya," kata Balamurugan.

Catatan 11.81s dalam acara 100 meter yang dilakar Azreen juga mengejutkan Balamurugan kerana ia jauh lebih baik daripada catatan tempat keempat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, 11.83s yang dilakar pelari Thailand, Supawan Thipat.

Azreen pernah diberikan kesempatan membuat kemunculan dalam acara 4x100m dalam Sukan SEA lalu, namun skuad Malaysia sekadar menamatkan cabaran di tangga terakhir dengan masa 45.39s.

"Saya meletakkan sasaran buat Azreen untuk melakukan catatan yang sama dalam Kejohanan ATM bagi meneruskan rentak yang cemerlang bagi tahun ini," ujarnya.

Kem olahraga negara sedang menuju ke penghujung kalendar dengan Kejohanan Olahraga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lumut pada 3 hingga 5 Oktober ini yang menjadi destinasi terakhir atlet kebangsaan sebelum mereka diberikan rehat.
 

Advertisement

Must Watch Video