Skip to main content

Sukan Asia

Badminton: Peng Soon, Liu Ying tewas mengejut

peng-soon-liu.jpg
Kesilapan pada hujung perlawanan menyaksikan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, tewas mengejut di tangan pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei-Chau Hoi Wah, menerusi tiga set dalam pusingan kedua Sukan Asia Indonesia di Istora Senayan, Gelora Bung Karno, hari ini.

Pasangan negara itu turun menggalas harapan pingat yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Namun, bayangan awal mula kelihatan pada set pertama apabila beregu yang berada di ranking kesembilan dunia itu bergelut sebelum tewas 17-21.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu memulakan set kedua dengan lebih meyakinkan.

Mereka mempamer aksi lebih kemas, sekali gus menang 21-19 untuk mengheret perlawanan ke set ketiga.

Set penentuan berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling berbalas serangan sehingga perlawanan diheret ke tie break.

Chun Hei-Hoi Wah, yang lebih tenang, bijak menggunakan peluang hasil kesilapan pemain negara untuk mengesahkan tiket ke suku akhir dengan kemenangan 28-26.

Kekalahan itu bermakna Peng Soon dan Liu Ying masih ketandusan pingat Sukan Asia selepas membuat penampilan sulung di Incheon pada 2014.

"Hari ini, lawan bermain dengan bagus dan kami melakukan kesilapan mudah," kata Peng Soon.

"Kami sudah cuba sedaya-upaya untuk memberikan yang terbaik tetapi kesilapan ketika detik genting menyebabkan kekalahan," tambah Liu Ying.

Advertisement

Must Watch Video