Skip to main content

Sukan Asia

Badminton: Daren, Zii Jia gagal pamer rentak terbaik

daren.jpg
Dua wakil perseorangan negara, Liew Daren dan Lee Zii Jia, menerima hakikat persembahan mereka dalam acara berpasukan tidak seperti yang diharapkan dan mahu memastikan rentak permainan ditingkatkan semula.

Daren dan Zii Jia menjadi sandaran negara untuk memperoleh mata dalam acara berpasukan lelaki menentang Jepun di Istora Senayan, hari ini.

Begitupun, sebaliknya yang berlaku apabila Daren yang turun selaku perseorangan pertama tumpas kepada juara dunia, Kento Momota.

Ulangan aksi separuh akhir Kejohanan Dunia itu menyaksikan Daren tidak berada dalam rentak sebenarnya apabila membuat kesilapan mudah kepada lawan.

"Permainan hari ini kurang baik kerana banyak melakukan kesilapan. Saya berharap dapat mengembalikan tumpuan untuk acara individu," kata Daren.

Sementara itu, Zii Jia yang menjadi perseorangan kedua berdepan tekanan lebih besar susulan kekalahan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam aksi beregu pertama.

V Shem-Wee Kiong tunduk kepada Takeshi Kimura-Keigo Sonoda, sekaligus menyaksikan Zii Jia perlu memperoleh mata untuk mengekalkan perjuangan Malaysia.

Ternyata ia tidak dapat dijelmakan pemain berasal dari Alor Setar, Kedah, itu apabila tewas straight set kepada Kenta Nishimoto.

"Saya telah cuba menampilkan permainan terbaik ketika berdepan wakil Jepun.

"Kami berharap dapat meningkatkan lagi prestasi untuk saingan akan datang," kata Zii Jia.
 

Advertisement

Must Watch Video