Skip to main content

Sukan Asia

Badminton: Daren kurang bertindak balas, kata Misbun

misbun.jpg
Jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, kini bergantung harap kepada Lee Zii Jia untuk meneruskan cabaran Malaysia dalam acara perseorangan selepas Liew Daren terkandas awal dalam Sukan Asia Indonesia di Istora Senayan, hari ini.

Walaupun memberi tentangan sengit, Daren terpaksa akur 21-8, 20-22, 21-14 kepada wakil dari Korea Selatan, Heo Kwang-hee, dalam tempoh 55 minit.

"Saya melihat pemain Korea Selatan itu lebih berkisarkan kepada serangan sementara Daren pula kurang memberi tindak balas. 

"Dia tidak dapat menampung situasi dalam gelanggang. Jadi, ia membuatkan permainan Daren tertekan. Itulah punca yang kelihatan tadi," kata Misbun.

Dengan ketiadaan jaguh, Datuk Lee Chong Wei, sukar untuk meramalkan nasib pemain negara pada ketika ini tetapi Misbun tampil menegaskan bahawa Malaysia adalah pasukan bukan pilihan.

"Kita datang sebagai pasukan bukan pilihan. Tanpa Chong Wei, kami terpaksa menurunkan Zii Jia dan Daren," katanya lagi.

Sementara itu, satu lagi aksi pusingan 32 hari ini menyaksikan Zii Jia mudah menewaskan pemain Pakistan, Azeem Sarwar, 21-13, 21-10.

Dalam pada itu, hampa juga buat satu-satunya beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, apabila tewas tiga set kepada pasangan India.

Mereka tewas 21-12 pada set pertama sebelum berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan 21-16.

Bagaimanapun, mereka akhirnnya dikecewakan apabila set penentuan berkesudahan dengan kekalahan pasangan negara 21-19.

"Ia sukar untuk kami," kata Mei Kuan.

"Tentang masalah angin di dalam dewan, bukan kami sahaja yang hadapi tetapi semua pemain. 

"Bagaimanapun, kami tidak puas hati dengan apa yang kami capai hari ini. Kami perlu perbaiki lagi," kata Meng Yean. 

Advertisement

Must Watch Video