SUKAN LAIN
Azroy sedia pendekkan cuti raya
Biarpun kejohanan terdekatnya masih berbaki sebulan lagi, atlet angkat berat negara, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, tetap memendekkan cuti sambutan Hari Raya Aifilfitri dalam usaha memastikan dirinya mampu mencapai angkatan terbaik dalam Kejohanan Negara-Negara Komanwel di Samoa, 9 Julai depan.
Azroy secara peribadi memohon kepada jurulatihnya, Wang Zhiquan, agar cutinya sempena Aidilfitri dipendekkan dan mahu kembali berlatih pada hari raya ketiga.
Baginya, masa kian suntuk untuk dia dan rakan sepasukannya, Aznil Bidin, mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Negara-Negara Komanwel yang turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 buat Aznil.
Iklan
Azroy pula sedang mencuba untuk mendapatkan semula angkatan terbaiknya, 117 kilogram, yang dilakukan ketika memenangi pingat emas Sukan Komanwel di Gold Coast tahun lalu.
"Bagi saya, dalam sukan angkat berat ini, jika kita tidak pegang besi selama lima hingga enam hari, ia akan menjejaskan angkatan.
"Ia sebab kita angkat beban dan bukannya pelampung. Kita angkat benda berat.
"Jadi, saya dah minta kepada jurulatih untuk bercuti selama tiga atau empat hari dan itu sudah cukuplah buat saya," katanya
Buat masa ini, Azroy akan terus berlatih di pusat latihan di kampung halamannya, Kuala Rompin.
Selain itu, dia turut berharap dapat menjadi atlet Malaysia pertama meraih pingat dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia di Pattaya, Thailand, September depan.
"Setakat ini, jurulatih belum meletakkan sebarang sasaran selain pingat dalam Sukan SEA.
"Jadi, untuk Kejohanan Dunia ini, jurulatih kata dia akan sediakan satu program istimewa untuk mendapatkan pingat.
"Setakat ini persediaan saya sudah 80 peratus dan lagi 20 peratus saya akan dapatkan untuk memecahkan rekod peribadi saya dalam Kejohanan Komanwel," tambahnya.
Must-Watch Video