SUKAN LAIN
Azroy mohon cuti Hari Raya disingkatkan
Biarpun kejohanan terdekatnya hanyalah sebulan lagi, atlet angkat berat negara, Azroy Hazalwafie Ahmad Izhar, tetap memendekkan cuti Hari Raya Aifilfitri dalam usahanya memastikan mampu mencapai angkatan terbaik dalam Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Samoa, 9 Julai depan.
Azroy secara peribadi meminta jurulatihnya, Wang Zhiquan, agar memendekkan cuti Hari Raya dengan kembali berlatih pada Hari Raya ketiga.
Baginya, masa kian suntuk buatnya dan rakan sepasukan, Muhamad Aznil Bidin, untuk melakukan persiapan menjelang kempen di Samoa yang turut menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, khususnya buat Aznil.
Iklan
Bagi Azroy pula, dia cuba mendapatkan semula angkatan terbaik yang pernah dilakukan ketika memenangi pingat emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018, iaitu 117 kilogram.
"Dalam sukan angkat berat, kalau kami tidak 'pegang besi' selama enam hari, ia boleh menjejaskan angkatan kami.
"Kami angkat berat, bukannya angkat pelampung.
"Bagi saya, cuti selama 3-4 hari sudah cukup," kata Azroy.
Buat sementara waktu, Azroy akan terus berlatih di pusat latihan angkat berat di kampung halamannya, Kuala Rompin.
Azroy amat mengharapkan dapat muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang meraih pingat dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia di Pattaya, Thailand, September depan.
"Fokus sebenar kami adalah dalam Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember tetapi sempena Kejohanan Dunia, jurulatih bercadang untuk mengadakan program istimewa buat saya bagi mencerahkan peluang saya untuk meraih medal.
"Saya kini tinggal lagi 20 peratus untuk mengulangi angkatan terbaik (117kg)," katanya lagi.
Must-Watch Video