SUKAN LAIN
Aznil mahu contohi Azroy
Atlet angkat berat negara, Aznil Bidin, mahu menjadikan kejayaan Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad meraih dua pingat perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Angkat Berat Asia di Ningbao, China, Ahad lalu sebagai motivasi terbaik untuk kebangkitannya selepas gagal beraksi cemerlang dalam kejohanan yang turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.
Aznil, yang beraksi dalam kategori 61 kilogram, sekadar menamatkan saingan dengan angkatan seberat 153 kilogram dalam acara clean and jerk dan gagal mencatat sebarang angkatan dalam acara acara snatch.
Bagaimanapun, atlet berusia 25 tahun itu berkeyakinan untuk meraih pingat dalam Kejohanan Angkat Berat Negara-Negara Komanwel 2019 di Kepulauan Samoa, Julai depan bagi memungut mata kelayakan.
Iklan
"Perancangan saya selepas ini adalah untuk menumpukan kepada tiga kejohanan, iaitu Kejohanan Komanwel, Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia tahun depan.
"Ia penting untuk saya mengumpulkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik, jadi saya perlu menggandakan usaha saya.
"Ia kerana saya sudah terlepas mata kelayakan di Ningbao.
"Kawan saya sudah meraih pingat, jadi saya menanamkan dalam diri saya untuk meraih kejayaan sama," katanya.
Bagi Aznil, setiap kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik cukup penting selepas dia akan menjadi wakil tunggal negara andai layak ke temasya itu.
"Saya perlu memastikan prestasi yang baik dalam ketiga-tiga kejohanan itu.
"Andai saya keciciran mata, saya mungkin tidak akan layak ke Sukan Olimpik," tambahnya.
Must-Watch Video