Skip to main content

Sukan Lain

Azman yakin kredibiliti Fernandes kemudi PSM

azman.jpg
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman, melabelkan kredibiliti dan pengaruh besar Tan Sri Tony Fernandes yang dilantik sebagai pengerusi bakal memberi impak positif, khususnya dalam menangani kerugian sehingga RM11 juta yang ditanggung badan itu setakat ini.

Azman mengalu-alukan kehadiran Fernandes yang dilantik secara rasmi selaku pengerusi baru PSM, Rabu lalu, bagi menggantikan posisi Datuk Mohamad Sahfri Abdul Aziz.

Ternyata kepercayaan yang diletakkan ke atas bahu Fernandes diharap mampu menjelmakan hasil yang memuaskan, khususnya dalam usaha mengatasi kerugian RM11 juta PSM yang berpunca daripada kos operasi terlalu tinggi.

Kini, Azman hanya menunggu tarikh sesuai bagi melakukan perjumpaan bersama ketua pegawai eksekutif kumpulan AirAsia itu bagi menyerahkan semua laporan tahunan selain perbincangan mendalam demi masa depan PSM.

"Kami ingin memastikan kami tahu prestasi sebenar PSM dan tidak memasukkan geran tersebut sebagai satu pendapatan.

"Sebenarnya, kami kini berada di landasan terbaik sejak 2015, dana kami berkurangan dari tahun ke tahun dan kami masih mampu meneruskan urusan," kata Azman.  

Paling utama adalah misi mereka dalam memastikan PSM tidak lagi akan bergantung kepada bantuan daripada kerajaan sepenuhnya untuk berusaha bergerak secara sendiri menjelang tahun 2021.

"Kami memang menunggu masa untuk menemui Tony agar terus dapat berbincang. Apa sahaja perancangan dapat dijalankan dengan segera bermula 2019."
 

Advertisement

Must Watch Video