Skip to main content

Sukan Lain

Azizulhasni atlet pertama sasar emas dalam Tokyo 2020

azizulhasni.jpg
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, muncul atlet pertama mengumumkan sasaran pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 sekali gus menjadi sandaran terbaik untuk menamatkan kemarau kem kebangsaan sejak 64 tahun lalu.

Dia sanggup memikul tugas sebagai harapan utama Malaysia selepas persaraan perseorangan utama badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Sasaran yang dinyatakan itu jelas lebih tinggi berbanding apa yang ditetapkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang menyasarkan perak tatkala pelumba dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' itu bakal membuat penampilan keempat sejak Sukan Olimpik Beijing 2008 dan hampir pasti layak dalam acara keirin dan pecut individu.

"Secara peribadi, saya berharap dapat membawa pulang emas tetapi sudah tentu apa sahaja boleh berlaku. Apa yang boleh saya lakukan adalah fokus kepada proses, latihan, kesihatan dan sebagainya," katanya.

Azizulhasni kini dalam persiapan menyertai Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman, bermula 26 Februari ini dan akan disertai Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Mohd Zonis.

Shah Firdaus dijangka layak dalam pecut individu dalam saingan Olimpik Tokyo jika cemerlang di Berlin nanti.

"Sekarang kami sedang mencari gear yang sesuai untuk saya guna sambil melihat penggunaannya. Insya-Allah, segalanya telah bersedia dan tunggu perlumbaan untuk menilainya," katanya.

Selain basikal trek, Malaysia turut meletakkan harapan kepada sukan badminton dan terjun untuk meraih emas.

Sementara itu, skuad trek negara akan menggunakan basikal berharga lebih RM300,000 dalam saingan di Berlin.

Ia mula digunakan ketika Azizulhasni meraih emas acara keirin di pentas Piala Dunia di New Zealand, Disember lalu

Proses penyelidikan dan pembangunan kini sedang dijalankan sebelum ia diperkenalkan secara rasmi 9 Mac depan untuk membantu misi emas Olimpik Tokyo.

"Ketika ini kami masih sedang perbaiki beberapa aspek termasuk kelajuan bagi mempersiapkan diri untuk saingan di Tokyo. Kami mengambil langkah demi langkah, banyak perkara yang kami raih," ujar ketua jurulatih skuad trek kebangsaan, John Beasley.

"Ada banyak perbezaan melibatkan basikal yang baru berbanding sebelum ini tetapi saya tidak boleh terangkan secara terperinci. Namun, harganya diletakkan mahal kerana untuk melindungi hak intelektual," tambah Azizulhasni.


Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found