Skip to main content

Sukan Lain

Azeem buat keputusan tepat -- Nixson

nixson.jpg
Pelari pecut negara, Nixson Kennedy, menganggap bintang muda, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, membuat keputusan tepat untuk kekal berlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh, ketika banyak pihak mahu dia ke luar negara.

Azeem terlalu mentah untuk menjalani program latihan berprestasi tinggi memandangkan usianya baru mencecah 15 tahun.

Pada usia itu, atlet masih bergantung kepada keluarga dan jurulatih untuk membuat keputusan, terutama membabitkan program latihan dan kejohanan.

Jadi, tindakan Azeem untuk kekal di Sekolah Sukan Negeri itu satu keputusan tepat.

"Azeem telah membuat keputusan yang tepat kerana masih muda. Kami masih belum boleh memberikan program latihan yang intensif. Buat masa ini, berlatih di bawah kendalian jurulatihnya adalah pilihan terbaik," kata Nixson.

Azeem mencipta sensasi apabila mencatat masa terpantas dunia bagi acara 200 meter peringkat usia B-16 tahun.

Dia melakukan catatan 21.24 saat ketika memecahkan rekod Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bulan lalu selain meraih kejayaan sama dalam 100m dan lompat jauh.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, mengadakan pertemuan dengan keluarga dan guru Azeem di Ipoh, semalam.

Azeem kini diletakkan dalam program pelapis kebangsaan selain akan menyertai lebih banyak kejohanan di dalam dan luar negara.

Advertisement

Must Watch Video