Pembawa bendera Jalur Gemilang kontinjen Malaysia dalam saingan AUG Surabaya, Indonesia 2024, Bryan Leong Xin Ren, berjaya bangkit selepas aksi mengecewakan pada hari pertama saingan pada Rabu lepas.

Dia beraganggapan kejayaan meraih pingat emas dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu dengan catatan masa 24.54 saat itu sebagai satu permulaan untuknya meneruskan perjuangan pada saingan hari berikutnya.

Bryan bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran peribadi untuk pungutan pingat, namun hanya berharap dia mampu mengutip setiap emas dalam acara yang disertainya.

"Walaupun bukan catatan terbaik namun, saya tetap gembira dapat membutirkan pingat buat negara dan mahu mengekalkan rentak kecemerlangan selain memulakan aksi dengan konsisten," katanya.

Sementara itu, Tan Khai Xin, pula berjaya memungut emas keduanya untuk saingan AUG 2024 menerusi acara 400 meter rampaian individu lelaki dengan catatan masa 4 minit 23.32 saat.

Walaupun catatan masa itu tidak mampu mengatasi catatan peribadinya, namun dia tetap berpuas hati dengan aksinya untuk mengatasi tuan rumah.

"Ia merupakan perlumbaan yang baik dan saya sangat berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan oleh saya sendiri untuk membantu meraih pingat emas buat negara," katanya.