Saingan Malaysian Open – The Royal Patron's Cup 2026 yang masih berlangsung di Arena Lawn Bowls, Komplek Sukan Terengganu sehingga 31 Oktober ini memberi impak besar buat atlet-atlet tempatan sama ada berstatus profesional mahupun dari peringkat pelapis untuk meraih pengalaman besar bersaing dengan atlet-atlet berstatus antarabangsa sekali gus memberi ruang untuk setiap atlet tempatan ini memperbaiki mata kedudukan dunia masing-masing.
Pandangan ini dikongsi oleh pemain nombor satu dunia yang juga merupakan anak jati Sepang, Selangor; Emma Firyana Saroji, yang turut hadir berentap memberi saingan untuk memburu kejuaraan sulung di sini.
"Prestij penganjuran ini memberi impak besar khususnya buat atlet-atlet tempatan untuk memperkukuhkan mata kedudukan dunia masing-masing. Penyertaan oleh beberapa negara untuk berentap di sini memberi tambah nilai buat penganjur dan atlet itu sendiri berbanding beberapa kejuaraan tempatan yang kita hanya bersaing sesama kita itu sendiri.
"Ianya memberi peluang sama rata buat setiap atlet mahupun pasukan bertanding, malah kita boleh lihat di sini terdapat atlet tempatan kita dari peringkat pembangunan mampu menewaskan beberapa pasukan senior mahupun dari luar negara, ini memberi gambaran masa depan sukan lawn bowls ini terus kukuh di pentas dunia." ujarnya yang telah mengutip 813 mata kedudukan dunia ketika ini.
Pada perkembangan yang sama, Emma Firyana juga mengambil peluang beraksi di Terengganu ini sebagai pemanas badan sebelum dijadualkan untuk kejohanan jemputan dunia Bowls Premier League(BPL) di Autralia pada 9 Oktober nanti.
Menambah prestij, ianya merupakan jemputan pertama kali dalam sejarah sukan lawn bowls tanah air untuk berentap bersama pemain-pemain dunia di sana.
"Satu sejarah buat sukan lawn bowls tanah air walaupun jemputan itu hanya melibatkan saya seorang sahaja ke sana untuk bertanding dengan pemain-pemain dunia lain bagi pasukan Melbourne Pulse yang berpangkalan di Victoria, Australian. Saya menjangkakan permainan lebih agresif di sana, ianya satu pengalaman besar untuk beraksi di sana," tambahnya lagi.