Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan dalam pembangunan pendidikan tinggi dan sukan negara. Namun demikian, satu persoalan penting wajar diberikan perhatian secara serius: adakah sistem pendidikan tinggi sedia ada benar-benar direka khas untuk memenuhi keperluan unik atlet sukan Malaysia yang perlu mencapai kecemerlangan dalam akademik dan sukan secara serentak? Hakikatnya, atlet yang mewakili negara bukanlah pelajar biasa dari sudut komitmen masa, tuntutan fizikal, persediaan pertandingan, jarak tempat latihan pusat dan tanggungjawab membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.
Mereka perlu menjalani latihan intensif, menghadiri kem latihan pusat serta menyertai kejohanan utama seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik. Dalam keadaan ini, sistem konvensional yang dibangunkan untuk majoriti pelajar mungkin tidak sepenuhnya memenuhi keperluan atlet berprestasi tinggi. Justeru itu, cadangan penubuhan Universiti Sukan Malaysia bukanlah bertujuan mempertikaikan kemampuan universiti sedia ada, sebaliknya mengemukakan suatu pendekatan pendidikan tinggi yang lebih khusus, bersepadu dan strategik demi masa depan Pembangunan dan kejayaan sukan negara.
Cabaran pertama yang perlu diberikan perhatian ialah kesukaran sebahagian atlet negara untuk menyeimbangkan tempoh pengajian dengan jadual latihan dan pertandingan antarabangsa. Atlet yang terpilih mewakili Malaysia dalam kejohanan utama lazimnya memerlukan persediaan jangka masa panjang, malah ada yang terpaksa menangguhkan pengajian selama satu atau beberapa semester. Walaupun terdapat universiti yang menyediakan kemudahan penangguhan dan fleksibiliti akademik, pelaksanaannya tidak semestinya seragam antara institusi atau program pengajian. Keadaan ini berpotensi menyebabkan atlet mengambil masa lebih panjang untuk menamatkan pengajian, sekali gus menjejaskan perancangan kerjaya selepas persaraan sukan. Persoalannya, mengapakah atlet yang sedang melaksanakan tanggungjawab mewakili negara perlu berhadapan dengan dilema antara menamatkan pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan dengan memenuhi tuntutan persediaan pertandingan antarabangsa? Sebuah universiti sukan yang khusus boleh memperkenalkan sistem pendidikan fleksibel melalui pembelajaran hibrid, pengajian modular, jadual peperiksaan alternatif, pemindahan kredit dan pelan akademik individu yang diselaraskan dengan kitaran latihan serta pertandingan atlet. Pendekatan ini membolehkan kecemerlangan akademik dan sukan berkembang secara seiring, tanpa perlu pilih antara dua pilihan yang ada.
Cabaran kedua berkaitan dengan keperluan membina kefahaman yang lebih menyeluruh terhadap tanggungjawab pelajar yang bergelar atlet kebangsaan. Dalam sistem universiti konvensional, kehadiran kuliah, penyertaan aktiviti pembelajaran dan pematuhan jadual penilaian merupakan komponen penting bagi menjamin kualiti akademik. Namun begitu, atlet negara mempunyai komitmen tambahan yang tidak boleh dielakkan, termasuk latihan harian, kem persediaan, perjalanan antarabangsa dan penyertaan pertandingan rasmi. Terdapat keadaan apabila pelajar perlu memohon pelepasan kuliah, sedangkan kelulusan tersebut bergantung pada peraturan institusi serta pertimbangan akademik yang berbeza. Perkara ini tidak sewajarnya dilihat sebagai kelemahan mana-mana pensyarah kerana mereka juga bertanggungjawab memastikan standard akademik dipelihara. Sebaliknya, isu ini menunjukkan keperluan kepada suatu sistem yang lebih tersusun, dengan dasar khusus bagi atlet negara. Adakah wajar seseorang atlet terpaksa memilih antara menghadiri kuliah atau menyahut panggilan mewakili Malaysia? Universiti Sukan Malaysia boleh menjadi institusi yang memahami kedua-dua tanggungjawab tersebut melalui mekanisme pelepasan akademik rasmi, pembelajaran gantian, sokongan pensyarah akademik dan penilaian fleksibel tanpa menjejaskan pencapaian hasil pembelajaran.
Cabaran ketiga ialah persaingan keutamaan dalam pengagihan sumber kewangan dan pembangunan infrastruktur sukan. Setiap institusi pengajian tinggi mempunyai visi, misi, bidang kepakaran dan keutamaan strategik tersendiri. Sebagai contoh, universiti yang memberikan penekanan kepada kejuruteraan, teknologi maklumat atau penyelidikan industri secara munasabah akan mengutamakan pembangunan makmal komputer, peralatan penyelidikan dan kemudahan pengajaran yang menyokong bidang terasnya. Keadaan ini tidak bermaksud pembangunan sukan diabaikan, tetapi menggambarkan realiti bahawa peruntukan kewangan perlu diagihkan mengikut keutamaan organisasi. Akibatnya, kemudahan fasiliti latihan dan alatan teknologi sains sukan moden, tidak dapat dinaik taraf mengikut perkembangan teknologi semasa atas pelbagai masalah seperti kekangan bajet dan lain lain. Persoalan yang perlu direnungkan ialah, bagaimanakah Malaysia ingin melahirkan atlet bertaraf dunia sekiranya sebahagian ekosistem latihan dan penyelidikan sukan masih bergantung pada peralatan asas serta peruntukan yang terhad? Penubuhan Universiti Sukan Malaysia membolehkan pelaburan khusus diberikan kepada makmal biomekanik, fisiologi senaman, analisis prestasi, teknologi kecerdasan buatan, pemulihan kecederaan, psikologi sukan dan pembangunan atlet berprestasi tinggi. Dengan perancangan kewangan yang berfokus, infrastruktur sukan tidak lagi sekadar memenuhi keperluan minimum pengajaran, tetapi menjadi pemangkin inovasi dan kecemerlangan sukan negara.
Cabaran keempat melibatkan kesesuaian petunjuk prestasi utama atau Key Performance Indicators (KPI) yang digunakan untuk menilai pelajar, pensyarah dan pegawai yang terlibat secara langsung dalam pembangunan sukan. Dalam institusi pengajian tinggi, pencapaian akademik, penerbitan ilmiah, penyelidikan, geran, pengajaran dan perkhidmatan profesional merupakan antara komponen penting penilaian prestasi. Walau bagaimanapun, penglibatan intensif dalam pembangunan atlet sehingga mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa juga memerlukan kepakaran, masa, pengorbanan dan komitmen yang tinggi. Sekiranya sumbangan tersebut tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya dalam sistem penilaian, keadaan ini berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan antara tuntutan pembangunan sukan dengan keutamaan kerjaya akademik. Apakah makna sebenar kejayaan meraih pingat emas antarabangsa sekiranya sumbangan tenaga akademik, jurulatih dan pakar yang membangunkan atlet tersebut tidak diterjemahkan kepada pengiktirafan profesional yang setimpal? Penghargaan berbentuk poster, ucapan tahniah dan publisiti sememangnya penting, namun pengiktirafan yang lebih bermakna perlu diterjemahkan melalui dasar pembangunan kerjaya, penilaian prestasi dan insentif institusi. Universiti Sukan Malaysia berpotensi membangunkan kerangka KPI khusus yang mengimbangi penerbitan akademik, inovasi teknologi sukan, pembangunan bakat sukan, kejayaan atlet, pemindahan ilmu dan sumbangan kepada prestasi sukan kebangsaan. Dengan pendekatan ini, kecemerlangan sukan dapat diiktiraf sebagai sebahagian daripada hasil akademik dan impak profesional yang bernilai dan bermakna.
Cabaran kelima ialah kepentingan memastikan pembangunan sukan dipimpin dan disokong oleh individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman serta kefahaman mendalam terhadap keperluan industri sukan. Pengurusan sukan bukan sekadar melibatkan penyediaan jadual pertandingan, penyelenggaraan fasiliti atau penyelarasan aktiviti pelajar. Sebaliknya, pembangunan atlet berprestasi tinggi memerlukan pengetahuan khusus dalam sains sukan, perubatan sukan, psikologi sukan, kejurulatihan sukan, biomekanik, pemakanan, pemulihan kecederaan, pengurusan prestasi dan teknologi sukan. Dalam konteks ini, penempatan pegawai daripada pelbagai latar belakang profesional bukanlah suatu kelemahan secara automatik kerana kepakaran kemahiran pentadbiran dan pengurusan juga amat diperlukan. Namun demikian, keberkesanan sesebuah organisasi sukan dapat diperkukuh apabila jawatan strategik yang memerlukan kompetensi teknikal sukan yang diisi oleh individu yang benar-benar mempunyai kelayakan, pengalaman dan komitmen terhadap pembangunan sukan. Kita perlu berani menilai sama ada struktur perjawatan, proses pelantikan dan sistem sokongan sedia ada telah benar-benar meletakkan kepakaran yang tepat pada tanggungjawab yang tepat. Universiti Sukan Malaysia boleh membangunkan ekosistem profesional yang menggabungkan kepimpinan akademik, pakar sains sukan, jurulatih berprestasi tinggi, pengamal perubatan sukan, ahli teknologi dan pentadbir profesional dalam satu struktur organisasi yang saling melengkapi. Matlamatnya bukan untuk mempersoalkan individu, tetapi memastikan pembangunan sukan negara digerakkan berdasarkan kompetensi, integriti, minat mendalam dan hala tuju yang jelas.
Kelima-lima justifikasi tersebut memperlihatkan bahawa cadangan penubuhan Universiti Sukan Malaysia bukan semata-mata berkaitan pembinaan sebuah kampus baharu, sebaliknya menyentuh keperluan memperkukuh keseluruhan ekosistem pembangunan modal insan dan prestasi sukan negara. Malaysia perlu bergerak daripada pendekatan yang terlalu bergantung pada penyesuaian sistem sedia ada kepada pendekatan pembangunan yang dirancang secara strategik berdasarkan keperluan sebenar atlet, tenaga akademik dan industri sukan. Kewujudan institusi seperti German Sport University Cologne di Jerman dan National Taiwan Sport University di Taiwan memperlihatkan bahawa pendidikan tinggi khusus dalam bidang sukan merupakan salah satu model institusi yang boleh dikaji dan disesuaikan dengan keperluan Malaysia. Walau bagaimanapun, kejayaan sukan sesebuah negara tidak boleh dikaitkan dengan kewujudan universiti sukan semata-mata kerana faktor pembiayaan, pembangunan bakat, kualiti kejurulatihan dan dasar sukan turut memainkan peranan penting. Oleh itu, penubuhan universiti sukan perlu dinilai melalui kajian kebolehlaksanaan yang komprehensif, termasuk aspek kos, permintaan pelajar, kebolehpasaran graduan, jaringan industri dan potensi kerjasama dengan institusi sedia ada. Sekiranya dilaksanakan secara strategik, Universiti Sukan Malaysia boleh berperanan sebagai pusat kecemerlangan nasional yang mengintegrasikan pendidikan, penyelidikan, inovasi, latihan atlet dan pembangunan kerjaya selepas persaraan sukan. Malaysia tidak seharusnya hanya bercita-cita untuk melahirkan juara, tetapi perlu membina sistem yang mampu menghasilkan kecemerlangan secara konsisten, terancang dan mampan.
Disediakan Oleh,
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah sains sukan
Universiti Teknologi Malaysia.