Skip to main content

Sukan Lain

Atlet para terima tajaan bernilai RM295,000

parataja.jpg
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasarudin SM Nasimuddin, berharap prestasi kontinjen negara dalam Sukan Para Asia Indonesia 2018 dari 6-13 Oktober ini dapat seiring dengan nilai tajaan sebanyak RM295,000 yang menjadi sumbangan terbesar buat atlet kali ini.

Sebanyak sembilan syarikat korporat tampil memberi sumbangan kepada atlet bagi temasya edisi ini, termasuk daripada Kumpulan Naza yang memberi penajaan pakaian rasmi bagi majlis pembukaan. 

Jelas Nasaruddin, nilai tersebut adalah yang terbesar buat kontinjen para dalam temasya setakat ini selepas kejayaan luar biasa yang ditampilkan atlet dalam Sukan Paralimpik Rio 2016 berjaya membuka laluan kepada banyak penaja yang tampil membantu. 

Justeru, diharapkan sumbangan ini bakal memberi satu suntikan semangat berterusan buat atlet untuk meraih pencapaian terbaik di Indonesia.

"Prestasi Sukan Paralimpik Rio dan Kejohanan Para Dunia membuka mata semua pihak. Ia sekali gus meraih minat ahli korporat untuk menyumbangkan tajaan bagi Sukan Para Asia 2018," kata Nasarudin.

Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan buat kontinjen negara hari ini adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mengesahkan sasaran rasmi Sukan Para Asia hanya akan diumumkan dalam majlis penyerahan bendera, Isnin depan.

"Kami akan mengumumkan sasaran Sukan Para Asia 2018 selepas majlis penyerahan bendera ke temasya itu," kata Syed Saddiq.
 

Advertisement

Must Watch Video