Skip to main content

Sukan Lain

Atlet diva pertahan tunjuk ajar Vasiljevs

syakilla-salni-jefry-krisna-karate.jpg
Atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, mendakwa program khas yang dirangka Institut Sukan Negara (ISN) untuk membantunya menurunkan berat badan tidak berjaya kerana ia belum mencukupi buat dirinya.

Sebaliknya, Syakilla -- yang digelar pengkritik sebagai "diva nombor satu sukan negara" gara-gara pelbagai kerenahnya -- mendedahkan dia telah menurunkan berat badannya sebanyak lima kilogram dalam tempoh seminggu dengan bantuan bekas jurulatih, Andris Vasiljevs, di ibu negara.

Andaimya benar, ia mungkin satu keajaiban kerana selama 10 bulan sejak sebelum Sukan Asia, Ogos tahun lalu lagi, atlet itu gagal menurunkan berat badannya hingga program latihan tiga bulannya di Amsterdam, Februari lalu, terpaksa disingkatkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).

Ia juga harus satu tamparan buat ISN yang sarat dengan pakar dalam sains sukan tetapi tidak pun mampu menurunkan berat badan atlet berkenaan dalam program khas dua bulannya sebelum ini.

Dalam temu bual Analisis Nadi Arena malam ini, Syakilla berkeras untuk meraih tiket kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di bawah kategori kumite 55kg meskipun berat badannya sudah melebihi 60kg.

Menurut ranking kelayakan Sukan Olimpik 2020 bagi kumite wanita 55kg, Syakilla menduduki tangga ke-83, dengan hanya empat teratas layak ke temasya Tokyo itu. 

"Saya hanya memerlukan latihan yang betul. Di Majlis Sukan Negara (MSN), saya akan berlatih selama dua jam paling lama sehari," kata Syakilla dalam temu bual berkenaan. 

"Keamatan latihan di ISN tidak sesuai dengan saya. ISN telah melaksanakan kerja mereka tetapi ia tidak sesuai buat saya," katanya sambil menekankan kelemahan dalam menguruskan laporan harian seperti rutin pemakanannya serta faktor masa selama dua jam diperlukan untuk sampai ke tempat latihan.

Dalam masa sama, Syakilla, yang mendapat tunjuk ajar jurulatih dari Latvia, Vasiljevs, selama hampir tujuh tahun, terus mempertahankan bekas jurulatihnya itu.

"Saya hanya mahu mendapatkan khidmat jurulatih lama saya, itu tuntutan utama saya," kata Syakilla yang membayangkan dirinya "atlet istimewa" dibandingkan dengan atlet karate lain.

"Benar pencapaian (kurang daripada jangkaan) dalam Sukan Asia 2018 menyebabkan dia dipecat, namun sebelum ini kami mencapai banyak kejayaan yang memberangsangkan," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pula bertekad untuk terus membantu atlet tersebut. 

"Peranan saya sebagai menteri, saya akan bantu dengan kapasiti yang saya ada," katanya yang ditemui dalam majlis berbuka puasa MSN di Bukit Jalil, sebentar tadi

"Saya sendiri yang meminta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, untuk membincangkan hal ini bagi memastikan Syakilla mendapat sokongan dan kembali di tahap terbaik untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020 dan mencapai keputusan membanggakan buat Malaysia," tambahnya.

Minggu lalu, MSN menawarkan Vasiljevs kontrak jangka pendek untuk membimbing Syakilla.

Shapawi pula mengambil kesempatan itu untuk menjernihkan situasi tersebut dengan berkata: "Kami bukannya menyuruhnya supaya menghantar surat peletakan jawatan. 

"Tetapi situasinya lebih (menjurus) kepada ketidaktentuan MAKAF dalam peralihan kuasa sebelum ini dan dalam masa yang sama, kami menamatkan kontrak Vasiljevs dan melantik jurulatih baru. 

"Ketika itu Syakilla masih tidak tahu hala tujunya dan selepas kami berjumpa dengannya, kami kembali menumpukan kepada misinya, iaitu kelayakan Sukan Olimpik." 

Ahmad Faedzal turut mempertahankan ISN di sebalik kegagalan membantu Syakilla menurunkan berat badannya.

"Saya percaya pegawai saya telah buat yang terbaik untuk membantu Syakilla. 

"Kami tidak pernah mengadakan program khas untuk atlet Malaysia dan dia adalah yang pertama. 

"Apa lagi yang Syakilla mahu, kami telah berikan bantuan," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video