Skip to main content

Sukan Lain

ASG: Memanah kembali tersenarai tahun depan

memanah.jpg
Malaysia berjaya memasukkan memanah untuk dipertandingkan dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2020 di Filipina yang bakal membabitkan lapan jenis sukan yang secara tidak langsung memberi kelebihan kepada kontinjen negara.

Kehadiran memanah dijangka mengukuhkan kedudukan pingat Malaysia dalam temasya tahun depan.

Malaysia memiliki pemanah hebat yang cemerlang di pentas Sukan SEA, malah ada yang masih berusia 18 tahun ke bawah.

Selain memanah, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Majlis ASG turut meluluskan tujuh jenis sukan lain yang akan dipertandingkan di Filipina dengan pembabitan sukan pilihan seperti ping pong, bola tampar dan bola keranjang.

"Sebanyak lima hingga enam negara sudah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam acara memanah, jadi ini tidak menjadi isu dalam kejohanan tahun depan," ujar Pengarah Bahagian Sukan, Ko-Kurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Zainal Abas.

Usaha Malaysia melobi beberapa sukan lain seperti skuasy dan boling tenpin, bagaimanapun, masih belum berhasil.

Apa yang pasti, ASG menuju ke arah Sukan SEA dengan syarat utama untuk jenis sukan dipertandingkan ialah perlu membabitkan sekurang-kurangnya empat negara.

"Hanya satu tambahan acara sukan dibenarkan," kata Penolong Setiausaha Jabatan Pendidikan Filipina, Revsee A Escobedo.

Sementara itu, acara renang antara sandaran pingat emas sulung Malaysia dalam ASG 2019 yang akan membuka tirai esok. 

Namun, kontinjen negara bakal menghadapi saingan sengit daripada Singapura yang giat mempersiapkan diri untuk meraih pingat emas.

Terdapat juga beberapa negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang sudah bermula menguji gelanggang sebagai persediaan di tahap terbaik untuk menghadapi temasya tahun ini.

Tugas Malaysia untuk layak ke separuh akhir acara badminton berpasukan wanita pula makin mudah selepas Myanmar menarik diri.

Kumpulan Y menyaksikan Malaysia diundi bersama tuan rumah, Indonesia dan Singapura, dengan dua pasukan terbaik akan layak ke separuh akhir.

Bagi saingan lelaki, Vietnam akan menggantikan Myanmar dalam Kumpulan A yang turut dibarisi Malaysia, Laos dan Filipina.

Skuad negara dijangka tiada masalah mara ke separuh akhir dalam kedua-dua acara dengan aksi di Selangor, tahun lalu, menyaksikan badminton menyumbang empat emas.

Skuad sepak takraw menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Singapura dan Filipina bagi acara berpasukan.

Bagaimanapun skuad sepak takraw Filipina bertekad untuk mengalahkan skuad negara walaupun sedar Malaysia merupakan pasukan yang lebih ampuh berbanding mereka.
 

Advertisement

Must Watch Video