Skip to main content

Sukan Lain

ASG: Aftar yakin sasaran 24 emas mampu dicapai

aftar.jpg
Pembawa bendera kontinjen negara ke Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) Indonesia 2019, Muhammad Aftar Rosli, menyahut cabaran untuk mencapai sasaran 24 pingat emas walaupun Malaysia berdepan tugas sukar untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan.

Pelari pecut negara itu menyuarakan keyakinannya bahawa sasaran itu mampu dicapai.

"Insya-Allah, saya yakin sasaran 24 pingat emas itu mampu dicapai oleh kontinjen Malaysia daripada pelbagai jenis sukan.

"Sebagai juara bertahan, kami akan mengekalkan kejuaraan kami di Indonesia," katanya.

Berdasarkan sasaran itu, skuad olahraga negara akan menjadi taruhan terbesar untuk meraih pingat emas terbanyak.

Aftar berpendapat skuad olahraga negara memiliki kekuatan tersendiri untuk bersaing dalam edisi kali ini.

"Saya lihat daripada segi kekuatan kontinjen olahraga, 10 pingat emas boleh dicapai," tambahnya.

Turut melontarkan keyakinan sama ialah pelari remaja sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi.

"Untuk diri saya sendiri, sebenarnya saya mahu melakukan yang terbaik untuk negara.

"Seterusnya, saya mahu mencipta rekod peribadi tetapi apa yang paling saya harapkan ialah saya dapat menyumbangkan dua pingat emas buat negara," katanya.

Chef-de-Mission negara, Izmi Ismail, menambah: "Pada kali ini, kami memang menjangkakan Indonesia akan menganjurkan acara-acara yang mungkin memberikan kelebihan kepada mereka.

"Apapun, kami akan bertanding dengan bersungguh-sungguh dan mencuba untuk mengekalkan kejuaraan keseluruhan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video