Skip to main content

Advertisement

Permotoran

ARRC: Azlan, Zaqhwan cemerlang di Buriram

azlan-shah-kamaruzaman.jpg
Pelumba negara mencipta gemilang di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, petang tadi apabila Azlan Shah Kamaruzaman dan Zaqhwan Zaidi mengisi kedudukan 1-2 dalam kelas ASB 1000cc saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Sejak awal lagi, saingan sengit ditampilkan di antara Azlan Shah dan pelumba Thailand, Apiwat Wongthananon, di depan.

Wakil tuan rumah itu memimpin sehingga pusingan keempat dan Azlan berada di tangga pertama buat suatu ketika sebelum pendahuluan kembali dirampas Apiwat sambil Zaqhwan dan Yuki Ito mengikuti rapat kedua-dua pelumba berkenaan bagi pemburuan podium.

Penguasaan Apiwat tampak sukar disekat sebelum pelumba Thailand itu tercicir di tangga keempat, sementara Azlan dan Zaqhwan bijak mengambil kesempatan di selekoh sebelum pusingan ke-10 untuk memimpin perlumbaan manakala Ito di tempat ketiga.

Azlan Shah muncul pelumba terpantas untuk kejuaraan kedua musim ini manakala rakan senegara, Zaqhwan dari pasukan Honda Asia Dream Racing, di tangga kedua.

Bagaimanapun, Apiwat bertekad untuk tidak terlepas podium di depan penyokong sendiri apabila memintas Ito ketika saingan berbaki satu pusingan.

Sementara itu, penunggang negara turut mencuri tumpuan dalam kelas Supersports 600cc dengan dua wakil negara menduduki podium, iaitu Adam Norrodin di tangga kedua dengan 7.158 saat di belakang juara, Peerapong Boonlert, manakala Ramdan Rosli memintas rakan senegara, Kasma Daniel Kasmayuddin, di selekoh terakhir untuk melengkapkan podium.
 

Advertisement

Must Watch Video