SUKAN LAIN
Anugerah SAM 2018: Azizulhasni buru gelaran ketiga
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, dan atlet boling tenpin, Muhammad Rafiq Ismail, dilihat sebagai pilihan popular untuk meraih Anugerah Atlet Terbaik dalam majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2018 di Petaling Jaya, malam esok.
Majlis anugerah kali ini sedikit berbeza kerana ia diadakan sempena ulang tahun ke-50 penubuhan SAM, yang telah diasaskan pada 1969.
Presiden SAM, Jasni Shafie, berkata penganjuran edisi tahun ini lebih mencabar kerana ia sempena sambutan ulang tahun ke-50 SAM dan persatuan berkenaan mahu terus menjadi badan bebas yang dihormati dan disegani.
Iklan
"Kerana itu, seluruh warga SAM amat terharu apabila Anugerah SAM kali ini akan menyaksikan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
"Baginda adalah peminat utama sukan negara dan ia amat bermakna kepada wartawan sukan dan atlet yang akan menerima anugerah pada malam tersebut," katanya.
Majlis Anugerah SAM 2018 mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, untuk berangkat hadir ke majlis itu.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga dijadualkan hadir dalam majlis berkenaan.
Azizulhasni, 31, yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' akan memburu anugerah ketiga selepas memenanginya pada 2009 dan 2017.
Dalam Sukan Asia Indonesia tahun lalu, Azizulhasni meraih pingat emas acara pecut individu lelaki selain pingat perak dan gangsa masing-masing dalam acara pecut berpasukan dan keirin.
Dia turut meraih emas dalam Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara di Velodrom Nasional, Nilai, Oktober lalu.
Rafiq pula melakar kejayaan cemerlang sepanjang tahun lalu dengan memperoleh pingat emasa acara perseorangan dalam Kejohanan Boling Lelaki Dunia di Hong Kong untuk menjadi pemain pertama negara mencapai kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.
Atlet berusia 22 tahun itu turut beraksi cemerlang dalam Sukan Asia dengan meraih satu pingat emas dan satu perak masing-masing menerusi acara masters dan trio lelaki.
Perebutan Anugerah Atlet Terbaik edisi ini turut menyaksikan persaingan sengit juara-juara dunia yang lain seperti gandingan dua ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong, Amy Kwan Dict Weng (gimrama) dan Mohamad Hazim Amzad (silat).
Sementara itu, Mohd Ridzuan Puzi, yang dinobat sebagai Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018, dilihat sebagai pesaing terhebat bagi Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik yang turut menyenaraikan dua lagi jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, selain Bonnie Bunyau Anak Gustin daripada sukan powerlifting.
Pemenang bagi kedua-dua anugerah itu akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.
Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, wartawan sukan juga berpeluang memenangi hadiah melalui enam kategori anugerah kewartawanan yang dipertandingkan, iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000.
Must-Watch Video